EKONOMI

Ipo : Agx Group Meterai Perjanjian Taja Jamin Dengan Ta Securities

02/01/2024 03:57 PM

KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- AGX Group Bhd (AGB) telah memeterai perjanjian penajajaminan dengan TA Securities Holdings Bhd bagi tawaran awam permulaan (IPO) untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

Dalam kenyataannya, AGB berkata IPO itu membabitkan tawaran sejumlah 96.5 juta saham-saham baharu dan tawaran jualan 30 juta saham-saham biasa yang sedia ada.

“Daripada 96.5 juta terbitan saham biasa itu, sebanyak 21.65 juta saham akan ditawarkan kepada rakyat Malaysia menerusi pengundian manakala 6.32 juta saham akan diperuntukkan kepada pengarah, kakitangan AGB dan anak syarikat yang layak,” katanya.

Selain itu, baki 68.53 juta saham akan diperuntukkan menerusi penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

“Selaras dengan perjanjian penajajaminan itu, TA Securities akan menaja jamin sebanyak 21.65 juta saham-saham terbitan awam,” katanya.

Menurut AGB, hasil daripada langkah IPO itu akan dimanfaatkan bagi tujuan pengembangan perniagaan di peringkat tempatan dan luar negara dalam usaha membuka gudang dan pejabat baharu di Pulau Pinang dan Johor Bahru serta sebuah pejabat baharu di Busan, Korea Selatan.

“Sebahagian daripada hasil IPO itu turut disasarkan bagi menampung modal kerja, pembayaran semula pinjaman bank serta bagi keperluan penyenaraian,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif AGB Datuk Ponnudorai Periasamy berkata selain bagi pengembangan di peringkat tempatan, hasil daripada IPO itu akan turut digunakan untuk meningkatkan perkhidmatan sedia ada.

“Kami berharap status sebagai syarikat yang tersenarai di masa depan, dapat mengukuhkan lagi kehadiran di peringkat serantau selain meningkatkan lagi kredibiliti perkhidmatan yang ditawarkan seperti perkhidmatan logistik aeroangkasa.

“Ini berikutan pelanggan sedia ada dan kelompok yang disasarkan adalah daripada kalangan syarikat penerbangan di rantau ini,” katanya.

Kumpulan itu adalah penyedia perkhidmatan logistik pihak ketiga (3PL) yang merangkumi pengangkutan, logistik aeroangkasa, gudang simpanan dan 3PL lain, perkhidmatan pengangkutan darat dengan kehadiran fizikalnya di Malaysia, Filipina, Korea Selatan, Myanmar, Singapura dan Kemboja (menerusi rakan sekutu).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan