KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- Institusi pendidikan tinggi (IPT) disarankan supaya menerima cadangan daripada pemain industri dalam membentuk sukatan pelajaran akademik.
Ketua Pegawai Eksekutif PKT Logistic Group Sdn Bhd Datuk Seri Dr Micheal Tio berkata pemimpin industri mempunyai pandangan yang lebih baik tentang pembangunan industri masing-masing, justeru dapat membantu IPT mengelakkan ketakpadanan antara sukatan pelajaran akademik dengan keperluan sebenar industri, seterusnya menjamin kebolehpasaran yang lebih tinggi untuk siswazah.
"Adalah penting untuk pemain industri dirujuk dalam semakan kurikulum. Hal ini akan memastikan IPT dapat membekalkan bakal siswazah yang memenuhi kehendak kami.
"Begitu juga bidang penyelidikan. IPT perlu memberi tumpuan kepada topik penyelidikan yang relevan dan diperlukan oleh industri. Penyelidik harus memahami bahawa mereka melakukan kajian berdasarkan perkara yang ingin diketahui oleh industri pada masa ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam forum “Pendekatan Baharu Program Pemindahan dan Pemindahan Ilmu dalam Membangunkan Negara, Industri dan Komuniti” pada Wacana Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi di sini.
Tio berkata kerjasama antara industri dengan akademia perlu ditingkatkan dengan penglibatan peneraju industri dalam lembaga penasihat akademik IPT dan program pendedahan atau latihan untuk pensyarah kanan mengenai cara industri beroperasi.
Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Dr Mazlan Abd Ghaffar dalam forum sama berkata IPT dan pemain industri perlu mencontohi amalan perkongsian inovasi dan pembangunan produk seperti yang diamalkan di negara maju lain.
“Yang penting ialah bagaimana untuk mengasimilasikan ilmu yang ada di universiti kepada syarikat untuk menyambung inovasi sosial supaya rakyat dan negara mendapat kebaikan dari segi kehidupan mereka pada zaman yang mencabar ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial