AM

Kpj Healthcare Lancar Kemudahan Stesen Pengecas Ev

19/01/2024 09:21 AM

KUALA LUMPUR, 18 Jan -- KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) menerusi kerjasama strategik dengan penyedia penyelesaian tenaga bersih Gentari Sdn Bhd (Gentari) melancarkan kemudahan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) pertama di Menara KP, Jalan Tun Razak di sini, hari ini.

Menurut kenyataan KPJ Healthcare, inisiatif lestari itu merupakan kesinambungan perjanjian persefahaman (MoU) yang dimeterai pada Julai 2023 dan menandakan satu pencapaian penting dalam usaha bersama ke arah penyelesaian sektor perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Inisiatif itu membuktikan komitmen KPJ Healthcare terhadap amalan mesra alam sejajar dengan aspirasi Malaysia membentuk masa depan yang lebih hijau, sekali gus mengukuhkan kedudukan kumpulan itu sebagai peneraju dalam penjagaan alam sekitar demi kesejahteraan dunia.

“Terdapat empat ruang pengecasan di Menara KPJ yang menampilkan dua jenis pengecas iaitu Pengecas Arus Ganti (AC) dan Pengecas Arus Terus (DC).

“Inisiatif ini ialah langkah pertama dalam pelan fasa pertama yang turut melibatkan pemasangan 32 ruang pengecasan di sembilan rangkaian hospital pakar KPJ di seluruh Malaysia secara berperingkat,” menurut kenyataan itu.

Rangkaian hospital pakar KPJ terlibat ialah KPJ Pulau Pinang, KPJ Tawakkal dan KPJ Ampang Puteri di Kuala Lumpur, KPJ Selangor, KPJ Kajang dan KPJ Klang di Selangor, KPJ Seremban (Negeri Sembilan) serta KPJ Johor dan KPJ Bandar Dato' Onn (Johor).

Majlis pelancaran itu dihadiri Ketua Pegawai Operasi (Operasi Bersekutu & Peruncitan Kumpulan) KPJ Healthcare Dr Nik Fawaz Nik Abdul Aziz serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Mobiliti Hijau Gentari Shah Yang Razalli.

Sementara itu, Dr Nik Fawaz berkata kerjasama yang terjalin dengan Gentari itu memainkan peranan penting dalam perjalanan kedua-dua syarikat untuk mencorak masa depan yang mampan.

“Dengan mengintegrasikan mobiliti hijau dan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui di seluruh rangkaian hospital kami, kami mampu mencapai lebih daripada sekadar mengikut standard piawaian yang telah ditetapkan dalam sektor industri kesihatan khususnya.

 “Menjelang 2025, matlamat kami untuk memasang lebih banyak stesen pengecas yang bukan sahaja akan meningkatkan infrastruktur EV Malaysia, tetapi juga secara aktif menyumbang kepada matlamat negara mencapai status negara sifar pelepasan gas rumah hijau pada 2050,” kata Dr Nik Fawaz.

Katanya Gentari akan membuat penilaian tapak untuk fasa kedua melibatkan pemasangan stesen pengecas di rangkaian hospital pakar KPJ yang lain menjelang akhir tahun ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan