KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Hasrat rakyat dan kepimpinan Malaysia agar Palestin diterima sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta gesaan gencatan senjata telah disampaikan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan kepada Setiausaha Agung PBB Antonio Gutteres, semalam.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi catatannya di Facebook hari ini berkata gesaan itu disampaikan Mohamad seiring dengan kenyataan Antonio di Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali di Kampala, Uganda bahawa hak Palestin untuk membina sebuah negara merdeka tidak boleh dinafikan.
“Keamanan dan kedamaian hanya dapat dicapai dan dipertahan jika hak sebenar dikembalikan kepada yang berhak.
“Jika penindasan, kekerasan, rampasan hak, dan dasar apartheid dibenar berleluasa, nescaya tiada suatu noktah yang selamat dalam kehidupan. Pasti suatu hari, sekarang atau di masa hadapan, mereka yang tertindas dan dinafikan segala hak akan bangkit menentang ketidakadilan sebegini,” katanya.
Perdana Menteri turut menegaskan bahawa Malaysia kekal dengan pendirian berprinsip bahawa Palestin berhak membentuk sebuah negara yang merdeka dan berdaulat berdasarkan garis sempadan pra-1967, dengan Baitul Maqdis sebagai Ibu Kota.
Mohamad dalam ucapannya di Debat Terbuka Peringkat Menteri di Majlis Keselamatan PBB berhubung Situasi di Timur Tengah termasuk Isu Palestin, pada Selasa (Rabu waktu Malaysia) berkata, Malaysia menuntut akauntabiliti atas pencabulan jelas Israel terhadap undang-undang antarabangsa dalam tindakannya di Gaza.
Mohamad berkata ketiadaan akauntabiliti atas jenayah perang Israel menggugat kesahihan undang-undang antarabangsa dan usaha mengakhiri pendudukan haram Palestin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial