BAGAN DATUK, 11 Feb (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengunjungi keluarga angkatnya yang berbangsa Cina di Taman Desa Bersatu, Hutan Melintang dekat sini.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu disambut ahli keluarga angkatnya, Beh Song Wan, 61, dan isterinya Tian Mee Ping, 55, serta dua anak mereka.
"Setiap tahun tanpa gagal saya akan ke rumah Bujang (Beh) ini, walaupun setahun sudah ibu beliau meninggal dunia, saya tetap datang sebagai menghormati beliau," katanya kepada pemberita ketika Kunjungan Kasih Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata esok genap setahun ibu Beh yang juga ibu angkatnya Cheah Seoh Lian meninggal dunia.
Cheah meninggal dunia pada 12 Feb tahun lepas dalam usia 83 tahun ketika tidur di kediaman yang sama.
Ahmad Zahid berkata hubungan beliau dengan mendiang serta enam anaknya amat rapat, malah mereka dianggap seperti keluarga sendiri sejak puluhan tahun yang lalu.
Terdahulu Ahmad Zahid menjamu selera bersama keluarga Beh serta empat adik- beradiknya termasuk menikmati Yee Sang yang diperbuat daripada bahan-bahan membuat pecal.
Beliau turut disambut dengan tarian singa dan sempat beramah mesra bersama tetamu kira-kira sejam sebelum meninggalkan majlis.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial