AM

Cyberview Lancar "cyberjaya Womens's Network", Perkasa Wanita Dalam Teknologi

13/03/2024 05:23 PM

CYBERJAYA, 8 Mac 8 (Bernama) -- Pemaju hab teknologi, Cyberview Sdn Bhd (Cyberview) hari ini melancarkan “Cyberjaya Women’s Network”, inisiatif yang bertujuan memperkasa wanita untuk terus cemerlang dalam pelbagai aspek pembangunan profesional dan peribadi khususnya melibatkan teknologi.

Penubuhan Cyberjaya Women’s Network juga memperkukuhkan komitmen syarikat itu terhadap prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dengan pemerkasaan wanita menjadi sebahagian daripada topik kepelbagaian, ekuiti dan keterangkuman (DEI) di bawah teras tanggungjawab sosial.

Rangkaian berkenaan akan bertindak sebagai platform untuk bimbingan, perkembangan kerjaya, peningkatan kemahiran dan peluang pembangunan profesional untuk wanita dalam komuniti teknologi yang semakin pesat  di Cyberjaya. 

Majlis pelancaran yang berlangsung di RekaScape, Cyberjaya, di sini, sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa Cyberview bertemakan “Memecah Halangan dan Menerajui Perubahan” itu, telah dirasmikan Ketua Pegawai Eksekutif Cyberview Kamarul Ariffin Abdul Samad dan Ketua Pegawai Kewangan Izatul Arini Mohd Ariff Albakri.

Kamarul Ariffin dalam kenyataan dikeluarkan sempena pelancaran itu berkata inisiatif itu menjadi platform bagi wanita untuk bersama-sama memperkasakan dan membimbing wanita lain dalam komuniti menerusi pelbagai aspek pembangunan profesional dan peribadi.

“Sebagai sebuah organisasi, Cyberview sentiasa berusaha memperkasakan tenaga kerja wanita kerana kami percaya bahawa suara wanita membawa perspektif yang signifikan.

“Saya gembira untuk menyatakan bahawa 50 peratus tenaga kerja kami adalah wanita dan peratusan wanita dalam pengurusan tertinggi kami adalah memberangsangkan iaitu 36 peratus. Sudah pasti kami akan berusaha meningkatkan lagi pada masa depan,” katanya. 

Beliau berkata Cyberview komited dalam usahanya untuk terus membimbing lebih ramai wanita mencapai jawatan penting, menerajui dan memberi inspirasi, bukan sahaja dalam syarikat bahkan dalam  ekosistem teknologi dan komuniti.

Sementara itu Izatul Arini berkata syarikat itu memberi keutamaan kepada usaha memupuk bakat muda selari dengan komitmen kerajaan untuk memacu mereka mencapai potensi masing-masing dan bersama Cyberjaya Women’s Network, Cyberview berharap dapat melibatkan wanita muda dengan melengkapkan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran diperlukan sebagai persediaan memenuhi keperluan industri.

Izatul turut menekankan perlunya wanita untuk mengukuhkan kewangan mereka, bersedia untuk melabut bagi memperkasakan diri dengan pengetahuan dan memastikan pencarian ilmu sepanjang hayat.

Tiga objektif utama Cyberjaya Women’s Network termasuk menginspirasikan perubahan positif dalam budaya korporat, memupuk kerjasama dan perkongsian pengetahuan bagi memperkasakan wanita dalam kepimpinan.

Pada majlis itu Cyberview turut menjalin kerjasama strategik dengan TM Research & Development, ASEAN Innovation Business Platform, LeadWomen, selain sesi prarakaman eksklusif bertajuk “Suara dari Barisan Hadapan: Melaporkan Konflik Gaza - Bagaimana Kita Boleh Memainkan peranan?” oleh wartawan Malaysia di Istanbul, Turkiye, Natasha Hussain.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan