AM

282 Jemaah Haji Malaysia Selamat Tiba Di Madinah

15/05/2024 02:02 PM
Daripada Noor Shamsiah Mohamed @ Ismail

 

MADINAH, 9 Mei (Bernama) -- Sebanyak 282 jemaah haji yang menaiki penerbangan pertama (KT1) dari Malaysia, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz di sini pada Khamis.

Mereka yang terdiri daripada 115 jemaah lelaki dan 167 wanita itu tiba dengan pesawat Malaysia Airlines MH8050 pada 4.10 pagi waktu tempatan sebelum dibawa dengan menaiki bas ke zon penginapan mereka di Hotel Emaar Royal.

Ketibaan rombongan jemaah berkenaan disambut Ketua Konsulat Malaysia di Jeddah Roslan Sharif.

Turut hadir, pihak pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) terdiri daripada Timbalan Ketua Rombongan Haji Kebajikan Mohamed Heikal Mohamed Yusuff dan Pengarah Operasi Madinah Ashrof Shamsuddin, serta petugas TH untuk musim 1445H/2024.

Sementara itu, Roslan berkata menerusi pemerhatiannya, TH telah melakukan persediaan rapi untuk menerima kedatangan semua jemaah haji dengan mengadakan perbincangan sewajarnya dengan pihak berwajib termasuk Kementerian Haji dan agensi berkaitan di Arab Saudi.

"Ibu Pejabat TH di Madinah yang terletak di bangunan Hotel Roha Al-Madinah juga telah dibuka awal sejak minggu lepas sebagai persiapan menyantuni para dhuyufurrahman. 

"Oleh demikian, saya percaya TH mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji Malaysia," katanya kepada petugas media selepas menyambut ketibaan kumpulan pertama jemaah berkenaan di Hotel Emaar Royal di sini hari ini. 

Bas yang membawa kesemua jemaah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz, tiba di hotel itu pada 6.30 pagi waktu tempatan. 

Pada masa yang sama, Roslan menasihati semua jemaah haji Malaysia supaya sentiasa bergerak secara berkumpulan demi keselamatan mereka, selain mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh TH dari semasa ke semasa. 

"Patuhi peraturan dan undang-undang tempatan Arab Saudi dan jaga imej serta nama baik Malaysia setiap masa tidak kira di mana jua berada," katanya. 

Beliau juga menyarankan supaya jemaah haji dapat terus menjaga kesihatan diri, minum air secukupnya dan amalkan diet yang seimbang sepanjang berada di Tanah Suci.

Roslan turut mendoakan semua urusan TH dipermudah dan dapat memberikan perkhidmatan terbaik serta semua jemaah mendapat haji yang mabrur.

Selain KT1, satu lagi penerbangan dari Malaysia tiba di Madinah pada 7.50 pagi (waktu tempatan) merangkumi 281 jemaah haji yang akan menginap di Hotel Saja al Madinah.

Mereka ialah kumpulan KT awal daripada keseluruhan 31,600 jemaah haji kuota penuh Malaysia tahun ini yang akan tiba di Tanah Suci secara berperingkat melalui 100 penerbangan sewa khas menerusi syarikat penerbangan AMAL oleh Malaysia Airlines Bhd dan Saudia Airlines.

Di Madinah, jemaah haji Malaysia akan ditempatkan di Hotel Emaar Royal, Movenpick dan Hotel Saja Al-Madinah dengan jarak kesemua hotel tidak sampai 150 meter dari Masjid Nabawi.

Sepanjang tempoh enam hari lima malam berada di Madinah sebelum bertolak ke Makkah, jemaah haji akan mengikuti program serta aktiviti diatur TH iaitu ziarah dalam melibatkan aktiviti ziarah Masjid Nabawi, makam Rasulullah SAW dan ziarah raudah, selain ziarah luar ke tempat bersejarah di sekitar bandar Al-Munawwarah.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan