DUNIA

Iais Tinjau Peluang Kerjasama Dengan Institusi Rusia Dan Oic Di Kazanforum

12/05/2024 10:09 AM

Oleh Rohani Mohd Ibrahim

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) Malaysia akan meninjau peluang untuk menjalin kerjasama dengan institusi di Rusia dan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) semasa penyertaannya dalam Forum Ekonomi Antarabangsa XV Rusia - Dunia Islam: KazanForum 2024.

Pengerusi IAIS Prof Dr Maszlee Malik berkata misi pertamanya dalam penyertaan di KazanForum adalah untuk mempromosikan diplomasi budaya dengan Rusia dan negara-negara lain yang turut mengambil bahagian.

"Terdapat banyak perkara yang boleh kita terokai melalui platform diplomasi budaya. IAIS bekerjasama rapat dengan Kedutaan Rusia di Kuala Lumpur bagi mempromosikan hubungan kebudayaan.

"Antara sektor yang boleh diterokai menerusi diplomasi budaya adalah pendidikan, sastera, pelancongan halal, hubungan rakyat dengan rakyat, perpaduan umat Islam dan pertukaran pelajar. Banyak yang boleh dipelajari oleh semua negara antara satu sama lain," katanya kepada Bernama ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Bernama sebelum ini melaporkan bahawa wakil dan pakar dari lebih 80 negara telah mengesahkan penyertaan mereka dalam Forum Ekonomi Antarabangsa XV Rusia - Dunia Islam: KazanForum 2024 dari 14 hingga 19 Mei di Rusia.

Menurut sekretariat KazanForum 2024, antara negara OIC yang akan diwakili dalam forum tersebut termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Malaysia, Turkiye dan Iran.

KazanForum tahun ini akan merangkumi Pasaran Hartanah Antarabangsa, Pameran Halal, perbincangan mengenai pelancongan perubatan dan pembangunan kandungan media.

Presiden Rusia Vladimir Putin dalam mesejnya yang disiarkan di laman web Kremlin pada Jumaat berkata Rusia menghargai hubungan mesra yang tradisional dengan negara Islam.

"Saya percaya bahawa kerja-kerja Forum akan terus bermakna dan konstruktif seperti biasa dan akan dijalankan dalam semangat keterbukaan dan kepercayaan. Ia akan membantu mengeratkan lagi persahabatan dan kerjasama kreatif antara negara dan rakyat kita," katanya.

Menurut Putin Rusia sangat menghargai keinginan negara Islam untuk melaksanakan dasar luar bebas dan meningkatkan peranan dalam hal ehwal antarabangsa.

"Bersama-sama, kita menyokong pembentukan dunia multipolar yang demokratik, berdasarkan kedaulatan undang-undang dan prinsip keadilan, bebas daripada sebarang bentuk penindasan dan diskriminasi. Kita juga komited untuk mengembangkan kerjasama yang saling menguntungkan dalam semua bidang, daripada perdagangan dan pelaburan kepada sukan dan pelancongan," katanya.

Putin berkata Tatarstan sekali lagi jelas menunjukkan potensi yang banyak dan komitmen yang kuat untuk maju dalam pelbagai bidang.

"Pencapaian wilayah ini dalam ekonomi, bidang sosial, sains dan budaya adalah sangat mengagumkan dan menjadi bukti nyata sumbangan ketara umat Islam Rusia serta etnik lain yang tinggal di Republik ini, dalam membangunkan tanah air, mengukuhkan kedaulatan dan pengaruh di peringkat global serta memastikan kestabilan dan keharmonian dalam masyarakat Rusia," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan