AM

Hari Kebangsaan: Wira Insiden Ulu Tiram Tidak Patah Semangat Berbakti Demi Negara

31/08/2024 10:32 AM

PUTRAJAYA, 31 Ogos (Bernama) -- Peluang memimpin bacaan ikrar Rukun Negara sempena sambutan Hari Kebangsaan 2024 menterjemahkan semangat Koperal Mohd Khairul Azhar Abbi Paisa, yang tidak pernah gentar untuk terus berbakti menjaga ketenteraman awam walaupun pernah melalui ‘detik hitam’ dalam kerjaya sebagai anggota polis.

Wira insiden serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor berusia 23 tahun itu berkata peristiwa tersebut tidak mematahkan semangatnya, malah menjadi penyuntik keazaman untuk terus memberikan khidmat terbaik dalam menjaga keselamatan dan keamanan negara.

“Saya mengambil iktibar daripada kes tembakan di Ulu Tiram. Ia menjadi pembakar semangat kerana saya tidak boleh lemah. Apa pun yang telah berlaku, saya mesti maju ke hadapan dan tidak boleh berpaling ke belakang.

“Walaupun rasa sedih kehilangan kawan (dalam insiden tersebut) tetapi itu tidak boleh mematahkan semangat saya. Itu pengorbanan mereka untuk negara tercinta ini,” katanya ketika ditemui Bernama di Dataran Putrajaya di sini hari ini.

Mohd Khairul Azhar mengakui sangat berbangga dengan jemputan pengurusan Bukit Aman, yang memberikan kepercayaan kepadanya untuk memimpin bacaan ikrar Rukun Negara dalam sambutan penting negara ini.

“Sejujurnya, dalam gembira ada juga rasa gemuruh. Namun, Alhamdulillah, saya beranikan diri untuk mengambil cabaran ini dan mula berlatih sejak seminggu lalu,” katanya yang kini bertugas di balai polis di Sabah sejak 16 Julai.

Beliau juga mengucapkan penghargaan atas peluang memimpin acara bacaan ikrar itu yang disertai 66 pelajar dari Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas Cheras, Kuala Lumpur.

Insiden tembakan di Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei, meragut nyawa dua anggota polis iaitu Allahyarham Koperal Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Allahyarham Koperal Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan parang yang merampas dua senjata api daripada anggota polis.

Seorang lagi anggota keselamatan, Sarjan Mohd Hasif Roslan, 38, pula cedera akibat ditembak, manakala lelaki yang merupakan suspek utama kes itu mati ditembak di lokasi kejadian.

Mohd Khairul Azhar bersama Mohd Hasif dan Koperal Muhammad Aznel Salleh, 30, merupakan anggota polis yang bergadai nyawa menjaga keselamatan dan ketenteraman awam ketika serangan di balai polis terbabit.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan