EKONOMI

Negeri Sembilan Komited Segerakan Industri Bernilai Tinggi

31/08/2024 12:32 PM

Oleh Siti Fauziah Hasan

SEREMBAN, 31 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan komited memperkukuh produktiviti dengan menyegerakan peralihan kepada industri bernilai tinggi sekali gus menyumbang kepada peningkatan ekonomi negeri, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata industri dengan pertumbuhan dan nilai tinggi akan dimantapkan berdasarkan tujuh kluster iaitu semikonduktor, aeroangkasa, maritim, kenderaan tanpa pemandu, kenderaan elektrik, bandar pintar serta hub logistik minyak dan gas.

Aminuddin berkata selain itu pada tahun lepas, Negeri Sembilan merupakan penyumbang kelima tertinggi sektor pembuatan negara iaitu sebanyak 5.4 peratus dan kecemerlangan itu harus diteruskan pada tahun seterusnya.

“Sektor ini mencatatkan pertumbuhan nilai ditambah sebanyak 1.2 peratus iaitu daripada RM19.4 billion pada 2022 kepada RM19.6 billion tahun lepas.

“Secara keseluruhannya, ia merupakan sektor pemacu yang memberi kelebihan kepada pertumbuhan sektor huluan dalam rantaian perbekalan. Sektor pembuatan berdaya maju membawa lebih banyak penyelidikan dan pembangunan, inovasi, produktiviti dan barangan eksport,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sektor itu juga antara terpenting kepada negeri dengan sumbangan direkodkan berjumlah 75 peratus atau RM7.6 bilion manakala sektor perkhidmatan menyumbang 25 peratus iaitu RM2.5 bilion pada tahun lepas.

Aminuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Infrastruktur, Utiliti dan Kemudahan Awam negeri berkata sebanyak 189 projek diluluskan dengan sektor pembuatan menyumbang 38 projek manakala perkhidmatan 151 projek, membabitkan 3,250 peluang pekerjaan.

Dalam pada itu, beliau berkata Negeri Sembilan turut merekodkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 1.8 peratus tahun lepas berbanding 5.6 peratus pada 2022 dengan sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar kepada peratusan KDNK itu.

Jelasnya, sektor itu mencatat pertumbuhan dengan prestasi kukuh iaitu 4.5 peratus mengimbangi pertumbuhan sederhana sektor pembuatan sebanyak 1.2 peratus dan penguncupan sektor pertanian pada 4.9 peratus.

Mengenai pelaburan, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata Negeri Sembilan mencapai nilai tertinggi pernah direkodkan dalam sejarah pentadbiran iaitu berjumlah RM10.1 bilion tahun lepas mengatasi rekod tertinggi dicatatkan pada 2022 iaitu sebanyak RM8.9 bilion.

Nilai pelaburan ini diperoleh daripada pelbagai sektor meliputi pembuatan dan perkhidmatan seperti hotel, hospitaliti, hartanah, kewangan, perkhidmatan perdagangan, pengedaran, utiliti dan telekomunikasi, katanya.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata kerajaan negeri menyambut baik dasar ekonomi terbuka dan penggalakan pelaburan asing berikutan ia mampu meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada warga tempatan.

“Banyak kawasan industri baru berjaya dirancang dan diselaraskan pembangunannya termasuk di SPD Techvalley, Techpark 3 @Enstek, Hamilton Industrial Park (di Parcel A, MVV) dan Springhill Industrial Park di Fasa 3,” katanya.

Beliau turut berkata Negeri Sembilan menerima pelaburan asing berjumlah RM6.04 bilion tahun lepas manakala pelaburan domestik sebanyak RM4.05 bilion bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan terpilih. 

Menyentuh berkenaan sektor pelancongan, beliau menyatakan peningkatan kehadiran pelancong yang membanggakan iaitu 30.2 peratus kepada 15 juta orang pada 2023 berbanding 11.5 peratus pada 2022.

“Tahun ini disasarkan lapan juta pengunjung dan kita terus melipatgandakan usaha memperkasakan program pelancongan bagi menarik kedatangan orang ramai sekali gus memastikan hasrat itu berjaya dicapai,” katanya dan menambah antara program itu termasuk NS Fest dan Pesta Bola Ngoca.

Sejajar dengan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 juga, kerajaan negeri akan meningkatkan pembangunan produk pelancongan berdasarkan penetapan segmen 60:30:10 iaitu pelancongan pantai (60 peratus), ekopelancongan (30 peratus) dan pelancongan adat dan warisan (10 peratus), katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan