AM

Nga Kor Ming Sertai Perarakan Kontinjen Wira Merah

31/08/2024 12:55 PM

KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Bernama) -- Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming tidak berada di pentas utama sambutan Hari Kebangsaan 2024 yang berlangsung di Dataran Putrajaya di sini hari ini. 

Ketiadaan beliau bagaimanapun terjawab, apabila Nga sebenarnya membuat kejutan menyertai perarakan Kontinjen Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan menaiki jentera terbaharu jabatan, kenderaan Urban Search and Rescue (USAR).

Nga yang mengenakan seragam Wira Merah dan diiringi Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad, juga kelihatan seronok memberi tabik hormat dan melambai ke arah pengunjung sepanjang perarakan tersebut.

“Kerajaan MADANI dan rakyat berpisah tiada. Semoga penyertaan saya dapat menyuntik semangat baru patriotik. Bersama kita bangunkan Malaysia MADANI,” kata Nga menerusi hantaran di laman media sosial X di sini hari ini. 

Kejutan Itu, menjadikan Nga sebagai menteri pertama yang menyertai perarakan Hari Kebangsaan. 

Nga yang turut berkongsi video dan gambar beliau bersama kontinjen JBPM, juga melahirkan rasa syukur dan bangga kerana diberikan amanah serta tanggungjawab menjaga pasukan bomba.

“Marilah kita mengenang jasa, bakti dan pengorbanan wira dan wirawati merah negara kita. Kita lebih teguh bersama,” katanya.

Sambutan tahun ini, memperlihatkan kontinjen JBPM antara lain melibatkan 11 pasukan, 24 aset kenderaan dan jentera model pelbagai fungsi bagi operasi pemadaman api dan penyelamatan serta enam anjing milik jabatan tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan