AM

Warga RPA 2 Ulu Kinta Kibar 2,000 Jalur Gemilang Bangkitkan Semangat Patriotik Penduduk

31/08/2024 01:09 PM

IPOH, 31 Ogos (Bernama) -- Semangat meraikan Hari Kebangsaan 2024 bukan sahaja meriah di lokasi-lokasi utama sambutan di seluruh negara, sebaliknya jiwa patriotik tinggi turut ditunjukkan rakyat Malaysia yang tinggal di kawasan perumahan dan kampung-kampung.

Penduduk di Rancangan Perumahan Awam 2 (RPA 2) Ulu Kinta, di sini antara yang tidak pernah ketinggalan saban tahun melakukan pelbagai aktiviti bersempena Bulan Kebangsaan dengan tahun ini lebih 300 penduduknya sepakat mengibarkan 2,000 bendera di kawasan perumahan itu.

Pengerusi Persatuan Penduduk RPA 2 Fadzil Ismail berkata keghairahan sambutan sempena kemerdekaan negara ke-67 turut dimeriahkan dengan pertandingan kediaman paling ceria selain melakukan perarakan kemerdekaan mengelilingi kawasan kampung.

“Kalau nak diikutkan, setiap tahun kami memang buat sambutan kemerdekaan di peringkat komuniti, cuma dalam skala kecil. Kali ini sedikit berbeza apabila kami anjurkan juga pelbagai pertandingan serta aktiviti bagi menarik penyertaan penduduk.

“Antara aktiviti serta pertandingan yang kita anjurkan ialah seperti kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang, perarakan merdeka, pertandingan basikal ceria, pertandingan pakaian tema patriotik dan sebagainya,” katanya ketika ditemui Bernama sempena Program Sambutan Bulan Kemerdekaan peringkat RPA 2, Ulu Kinta di sini, hari ini.

Fadzil berkata penganjuran program bersifat sukarela itu menggunakan peruntukan RM5,000 yang dikumpul melalui sumbangan penduduk bagi persiapan program yang bermula minggu lepas.

Sementara itu, salah seorang penduduk Muhammad Mustakim Zahari, 37, berkata program yang dilakukan secara gotong-royong itu bukan hanya mampu membangkitkan semangat patriotik, malah secara tidak langsung mengeratkan lagi hubungan antara penduduk.

“Seronok sebenarnya sertai dan terlibat sama dalam penganjuran program ini. Tak kira kanak-kanak sampai orang tua, semuanya bersama-sama menggantung bendera, membina menara merdeka dan sebagainya.

“Saya harap semangat atau kerjasama seumpama ini akan terus kekal dan dijadikan amalan oleh semua penduduk kampung ini dalam pelbagai perkara lain,” katanya.

Selain itu, seorang lagi penduduk Muhamad Shameer Mohd Yusoff, 36, berkata dia berharap program itu dapat diteruskan pada tahun hadapan dengan suasana lebih meriah dan melibatkan penyertaan penduduk dalam skala lebih besar.

“Mungkin kalau boleh lebihkan lagi bilangan pertandingan atau perbanyakkan aktiviti lain yang boleh dibuat berdasarkan tema kemerdekaan. Dengan cara ini saya fikir lebih ramai akan menyertai program seumpama ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan