AM

31 Ogos: Pengertian Berbeza Bukan Halangan Untuk Saling Menghormati - Premier Sarawak

31/08/2024 05:29 PM

SIBU, 31 Ogos (Bernama) -- Pengertian yang berbeza terhadap tarikh 31 Ogos antara rakyat di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah, tidak harus menghalang penduduk di ketiga-tiga wilayah itu untuk saling hormat menghormati, dalam usaha membina Malaysia yang progresif dan utuh.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata apa yang lebih penting ialah atas semangat ‘Segulai Sejalai’, rakyat Sarawak dan Sabah menghormati tarikh itu sebagai tarikh  penting untuk rakyat di Semenanjung dan negara.

Beliau berkata ia sama seperti menghormati tarikh 16 Sept (pembentukan Malaysia) yang penting kepada bukan sahaja rakyat di Sabah dan Sarawak, tetapi dan juga kepada Malaysia keseluruhannya.

“Pada pandangan saya tarikh-tarikh ini tidak lagi harus dipolemikkan, tetapi apa yang lebih penting ialah tarikh-tarikh tersebut dihormati dan difahami pengertiannya oleh semua rakyat negara ini, supaya terus dapat memberi tumpuan kepada usaha pembinaan dan pembangunan negara,” katanya.

Berucap pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2024 di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak di sini hari ini, beliau mengajak semua pihak untuk terus bergerak ke hadapan dan tidak dikongkong oleh sentimen tersebut dan mengabaikan tanggungjawab bersama kepada negara.

Abang Johari berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang akur dengan pandangan yang berbeza mengenai tarikh 31 Ogos dan 16 Sept dan telah bersetuju supaya 31 Ogos tidak lagi dinamakan sebagai Hari Kemerdekaan tetapi dikenali sebagai Hari Kebangsaan sejak 2015.

“Kalau Semenanjung maju, Sarawak dan Sabah juga maju, saya yakin negara ini akan menjadi lebih kukuh perpaduan rakyat dan wilayahnya,” ujarnya.

Abang Johari yakin dengan pendekatan yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030, Sarawak akan menjadi sebuah negeri yang maju dan progressif, inklusif dari segi sosial dan lestari dari segi pemeliharaan alam sekitar.

Beliau berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang prihatin terhadap aspirasi rakyat Sarawak yang ingin menikmati kemajuan yang hebat seperti dikecapi di Semenanjung.

Abang Johari berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri-Perdana Menteri sebelum ini, prihatin terhadap usaha Sarawak untuk memperoleh hasil yang lebih daripada sumber alamnya seperti minyak dan gas.

Oleh itu beliau juga yakin Kerajaan Persekutuan akan terus prihatin terhadap usaha Sarawak untuk menambahkan hasil negeri melalui inisiatif seperti penyimpanan karbon di luar pantai dengan dasar yang lebih terbuka.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan