AM

Dua Motosikal Menanti Peserta Dalam Cabutan Bertuah Melaka Explorace 2024

25/09/2024 04:19 PM

Oleh Mohd Fakri Awang Lah

MELAKA, 25 Sept (Bernama) -- Dua motosikal akan menjadi milik peserta yang menyertai ‘mencari harta karun’ Melaka Explorace 2024 yang akan berlangsung pada 5 dan 6 Okt, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata hadiah berkenaan akan menanti peserta semasa acara cabutan bertuah, yang akan diadakan bersekali dengan acara penyampaian hadiah pada 6 Okt.

“Selain motosikal, ada pelbagai hadiah menarik pada acara cabutan bertuah tersebut termasuklah barangan elektrik,” katanya ketika ditemui Bernama di Seri Negeri di sini hari ini.

Melaka Explorace 2024 menawarkan hadiah wang tunai RM10,000 bagi tempat pertama untuk kategori Terbuka, manakala RM5,000 bagi juara kategori Media dan Agensi Kerajaan Negeri Melaka/ Bernama.

Melaka Explorace 2024 ini dianjurkan Kerajaan Negeri Melaka dengan kerjasama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).    

Peminat pencarian harta karun boleh mendaftar penyertaan Melaka Explorace melalui pautan http://bit.ly/47dSZTi.

Yuran penyertaan bagi Kategori Terbuka ialah RM200 sepasukan, terdiri daripada dua hingga empat orang, manakala RM100 sepasukan bagi Kategori Media serta RM100 sepasukan juga bagi Kategori Agensi Kerajaan Negeri Melaka/Bernama.

Bertemakan ‘Mana Lagi, Melaka Ler!’, Melaka Explorace ini akan membawa peserta meneroka keindahan dan keunikan Melaka yang kaya dengan sejarah serta warisan di ketiga-tiga daerah negeri, iaitu Melaka Tengah, Alor Gajah, dan Jasin, melalui aktiviti ‘mencari harta karun’ dengan berjalan kaki, berkenderaan, serta menaiki beca dan bot (river cruise).

Peserta juga perlu memuat naik gambar dan video menarik yang terpilih di media sosial sepanjang Melaka Explorace berlangsung, sebagai nilai tambah untuk membolehkan mereka memenangi pertandingan tersebut.

Majlis penyampaian hadiah akan diadakan pada 6 Okt, dan peserta yang mengenakan busana tradisional yang menggambarkan kepelbagaian masyarakat di Melaka, berpeluang memenangi hadiah menarik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan