DUNIA

Malaysia Jalin Hubungan Diplomatik Dengan Andorra

26/09/2024 08:36 AM

Daripada Nabilah Saleh

NEW YORK, 26 Sept (Bernama) -- Malaysia secara rasmi menjalin hubungan diplomatik dengan Andorra, menandakan satu peristiwa penting dalam hubungan antara kedua-dua negara.

Perjanjian rasmi itu dimeterai melalui Majlis Pertukaran Nota atau “Exchange of Notes” di pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu, dengan kehadiran Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan rakan sejawatannya dari Andorra, Imma Tor Faus.

Mohamad Hasan menyifatkan kerjasama itu sebagai “penting dan tepat pada masanya”, terutamanya dalam memperkukuh kerjasama mengenai keadilan antarabangsa dan usaha kemanusiaan.

Walaupun bersaiz kecil, Mohamad berkata Andorra, sebuah kerajaan yang terletak di antara Sepanyol dan Perancis telah lama menjadi sekutu yang menyokong Malaysia dalam forum pelbagai hala, terutamanya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Walaupun hubungan diplomatik secara rasmi baru sahaja dimeterai hari ini, hubungan erat antara Malaysia dan Andorra sudah terjalin sejak sekian lama terutama dalam menegakkan keadilan antarabangsa dan isu kemanusiaan.

"Andorra juga lantang mengecam kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza. Hubungan diplomatik ini lama dinantikan oleh Andorra dan kami amat mengalu-alukan hubungan dua hala ini.

“Kami berharap ia akan memperkukuh lagi hubungan antara rakyat Malaysia dan Andorra, terutamanya dalam sektor pelancongan," katanya kepada media selepas majlis itu yang diadakan di luar sesi ke-79 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di sini.

Mohamad turut menyuarakan keyakinan bahawa industri pelancongan musim sejuk Andorra yang terkenal dapat melengkapi tawaran pelancongan Malaysia, sekali gus menggalakkan lebih banyak pertukaran antara rakyat kedua-dua negara.

Faus menyampaikan penghargaan atas layanan mesra Malaysia dan menekankan hubungan sejarah yang lama antara kedua-dua negara, terutama dalam kerangka PBB.

"Acara hari ini memberi makna yang istimewa bagi Andorra, kerana kami melengkapkan hubungan diplomatik dengan negara-negara anggota Asia, beberapa bulan sebelum Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 2025.

"Nilai dan keutamaan bersama kami menjadikan kerjasama ini penting dan semula jadi dalam dunia yang semakin global hari ini," kata Faus dalam ucapannya.

Beliau menekankan kepentingan kerjasama dalam menangani cabaran global seperti perubahan iklim, serta berkata bahawa Andorra dan Malaysia mencapai kemajuan yang ketara dalam memelihara alam sekitar.

"Usaha Andorra melindungi ekosistem pergunungan dan mempromosikan pelancongan mampan sejajar dengan kepimpinan Malaysia dalam pemuliharaan biodiversiti," katanya sambil menekankan potensi kerjasama yang lebih mendalam dalam bidang terbabit.

Andorra mengamalkan sistem politik yang unik, diperintah oleh dua putera bersama – Presiden Perancis dan Uskup Urgell di Sepanyol.

Dengan populasi sekitar 77,000 orang, Andorra kaya dengan kepelbagaian bahasa, dengan Catalan sebagai bahasa rasmi, manakala bahasa Sepanyol dan Perancis juga digunakan secara meluas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan