EKONOMI

Malaysia Perlu Contohi Laos Untuk Kepengerusian ASEAN Lebih Proaktif - Duta

26/09/2024 10:34 AM

Daripada Norsyafawati Ab Wahab

VIENTIANE (LAOS), 26 Sept (Bernama) – Malaysia wajar memanfaatkan pengalaman Laos sebagai panduan untuk tampil lebih proaktif dan bersedia apabila mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN tahun hadapan.

Duta Besar Malaysia ke Laos, Edi Irwan Mahmud berkata meskipun Laos merupakan negara dengan kedudukan ekonomi lebih rendah berbanding negara-negara ASEAN lain, Malaysia boleh belajar dari pendekatan negara itu dari segi aspek hospitaliti.

“Walaupun Laos menghadapi kekangan kewangan, tenaga kerja dan kemudahan, mereka telah memberikan yang terbaik setakat ini.

"Malaysia, antara negara pengasas ASEAN, harus mempamerkan kemampuan yang lebih baik dengan kelebihan kemudahan dan pengalaman yang kita miliki,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Beliau menambah bahawa Malaysia mempunyai persediaan lebih baik untuk mengambil alih kepengerusian ASEAN buat kali kelima, setelah pernah memegang jawatan itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

"Berbanding Laos yang mengalami kekangan dari segi bilik hotel, di Malaysia Alhamdulillah kita mempunyai banyak hotel yang bagus dan baik, Malaysia tidak mengalami masalah dari segi pengangkutan dan penginapan berbanding di sini," katanya.

Pada masa sama,  Edi Irwan turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone dijadual menyerahkan tugas selaku pengerusi ASEAN kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 Okt depan, ketika berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 akan berlangsung di Vientiane, Laos dari 6 hingga 11 Okt depan.

ASEAN yang ditubuhkan pada 8 Ogos 1967, kini dianggotai 10 negara iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Thailand, Singapura dan Vietnam. Timor-Leste masih menunggu untuk menjadi anggota penuh kumpulan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan