AM

Program MADANI Rakyat Sarawakku Sayang Sasar Kehadiran 300,000 Pengunjung

26/09/2024 11:28 AM

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Sebanyak 300,000 pengunjung disasarkan menghadiri Program MADANI Rakyat (PMR) 2024 Sarawakku Sayang yang akan berlangsung tiga hari bermula esok di Pekarangan Boulevard Mall, Miri, Sarawak.

Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi Mazlan Abd Mutalib berkata pelbagai perkhidmatan dan aktiviti menarik disediakan kepada orang ramai termasuk Jualan MADANI.

“Selain kehadiran rakyat Sarawak, program juga dijangka dihadiri rakyat Sabah. Apa yang penting kena rancang perjalanan kerana kawasan ini akan sesak.

“Kita juga menyediakan pengangkutan, (pengunjung boleh) terus ke Stadium Miri dan menaiki bas shuttle (yang disediakan) dari 8 pagi hingga 12 malam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV bertajuk Program MADANI Rakyat 2024 Sarawakku Sayang hari ini.

Mazlan berkata untuk reruai Kementerian Komunikasi, pengunjung boleh mendapatkan perkhidmatan daripada agensi di bawah kementerian antaranya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) serta Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen).

“Di JaPen, masyarakat boleh melihat pameran gambar Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong. Selain itu, ada juga cabutan bertuah,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan Program MADANI Rakyat 2024 Sarawakku Sayang, Sabtu ini serta akan dihadiri kepimpinan tertinggi kerajaan Persekutuan dan Sarawak.

Program berkenaan menyediakan ruang bagi masyarakat untuk mendapatkan perkhidmatan secara langsung daripada kementerian dan agensi di peringkat kerajaan Persekutuan serta negeri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan