AM

Kerajaan Kaji Tebus Guna 420,000 Hektar Ladang Getah Terbiar Untuk Tanaman Buluh

26/09/2024 02:35 PM

BANTING, 26 Sept (Bernama) -- Kerajaan sedang melihat keperluan menebus guna 420,000 hektar ladang getah terbiar untuk dijadikan ladang buluh yang mempunyai nilai komersial tinggi di pasaran dunia.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata langkah itu jika direalisasikan berupaya memberi nilai tambah kepada ekonomi dan pendapatan negara pada masa depan selain meningkatkan penyertaan Malaysia dalam pasaran komoditi berkenaan.

Beliau berkata industri buluh dianggarkan bernilai US$70.6 bilion pada 2023 dan dijangka meningkat kepada kira-kira US$100 billion pada 2028. 

"Ladang getah kita ada kira-kira 1.1 juta hektar, tetapi 420,000 hektar tidak ditoreh atau diusahakan atas beberapa faktor seperti ramai pengusaha telah berumur (tua), manakala anak-anak mereka juga sudah memasuki universiti dan memiliki ijazah atau sebagainya, sekali gus menyebabkan ladang tersebut tidak diusahakan.

"Kita lihat ada ada dua cara untuk manfaatkan tanah tersebut iaitu dengan memanggil sektor swasta untuk buat penggabungan bagi kita teroka semula getah atau kalau tidak mahu tanam getah kita bagi kepada pemain industri perabot untuk usahakan tanaman buluh, tambahan pula tanaman ini pun senang dijaga," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Seminar Buluh Kebangsaan dan Sambutan World Bamboo Day Malaysia 2024 di sini hari ini. 

Johari berkata terdapat pelabur luar yang menyatakan minat untuk menceburi industri buluh di Malaysia namun ada beberapa kekangan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum Malaysia mampu menjadi platform untuk industri tersebut. 

"Antara punca kekangan utama dalam pengkomersialan buluh secara besar-besaran adalah isu tanah yang terhad, di mana keluasan tanah yang diperlukan untuk mana-mana inisiatif komersial haruslah tidak kurang daripada 2,000 hektar. 

"Industri buluh pada masa ini juga dikendalikan secara kecil-kecilan di mana lebih 90 peratus pengusaha industri buluh terlibat dalam penghasilan kraf tangan yang dianggap berskala kecil," katanya. 

Johari berkata sehubungan itu beliau telah mengarahkan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) untuk melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berhubung produk yang boleh dihasilkan daripada spesies buluh dalam negara selain meningkatkan kerjasama dengan kerajaan negeri bagi mengembangkan industri itu. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan