EKONOMI

Kaunter YTL Pengaruhi Sesi Pagi Bursa Malaysia

26/09/2024 03:30 PM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia rendah semasa mengakhiri sesi dagangan pagi ini berikutan aktiviti pengambilan untung dalam saham wajaran tinggi terpilih, didorong oleh kaunter berkaitan YTL, kata penganalisis.

YTL Corp merosot 12 sen kepada RM2.54 dan YTL Power International susut 11 sen kepada RM3.78, menyumbang kepada penurunan 3.80 mata dalam indeks komposit.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 4.99 mata kepada 1,668.39 daripada 1,673.38 pada Rabu.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 3.19 mata kepada 1,670.19.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 553 berbanding 350, dengan 476 kaunter kekal tidak berubah, 1,136 tidak diniagakan dan 51 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.66 bilion saham bernilai RM1.17 bilion.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata prestasi bursa tempatan bertentangan dengan jangkaan berikutan pasaran menunjukkan prestasi yang baik susulan pengumuman China mengenai pakej rangsangan baharu untuk menyokong bank-bank utama China dan menggalakkan lebih banyak pinjaman.

“Harga minyak menurun, mengurangkan tarikannya manakala hasil Amerika Syarikat meningkat. Saya percaya ini hanya sementara dalam trend kenaikan secara keseluruhan berikutan pelabur tempatan mengakui kenaikan yang baik itu. 

“Mereka dijangka mengambil keuntungan menjelang ucapan Pengerusi Rizab Persekutuan AS Jerome Powell malam ini. Secara keseluruhannya, saya berpendapat akan terdapat aktiviti pengambilan untung,” katanya kepada Bernama. 

Saham wajaran tinggi Maybank merosot enam sen kepada RM10.64, CIMB berkurangan satu sen kepada RM8.27, Tenaga Nasional susut dua sen kepada RM15 manakala Public Bank menambah tiga sen kepada RM4.66 dan IHH Healthcare tidak berubah pada RM7.14. 

Di kaunter aktif, Artroniq dan Top Glove, masing-masing naik dua sen kepada 10 sen dan RM1.01, Sarawak Cable meningkat tiga sen kepada 13.5 sen, MY E.G. Services berkurangan 1.5 sen kepada 88.5 sen dan OCR Group tidak berubah pada 5.5 sen. 

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 43.58 mata kepada 12,440.46, Indeks FBMT 100 jatuh 44.18 mata kepada 12,140.32, Indeks FBM 70 berkurangan 93 mata kepada 17,482.77, Indeks FBM ACE susut 3.57 mata kepada 5,128.11 dan Indeks FBM Emas Shariah turun 42.60 mata kepada 12,323.50.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 1.33 mata kepada 176.36, Indeks Perladangan susut 35.45 mata kepada 7,217.49, Indeks Tenaga jatuh 0.48 mata kepada 870.21 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 21.66 mata kepada 19,622.15.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan