AM

Toys“R”Us Buka Kedai Perdana Di Mid Valley Megamall, Perkenal Kiztopia

26/09/2024 04:29 PM

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Toys“R”Us Malaysia membuka kedai perdananya secara rasmi di Mid Valley Megamall di sini semalam, yang antara lain menawarkan konsep baharu, Toy+Play (Mainan+Bermain) dengan memperkenalkan taman permainan tertutup "Kiztopia".

Syarikat berkenaan dalam satu kenyataan memaklumkan pembukaan kedai perdana terbaharu yang telah diubah suai dengan terperinci itu, dijangka dapat menawan hati semua peringkat umur selaras usaha transformasi berterusan Toys“R”Us di seluruh rantau Asia.

“Di Toys“R”Us Asia, kami komited untuk mencetuskan inspirasi dan memupuk generasi akan datang. Sebagai susulan kepada kejayaan kerjasama kami bersama Kiztopia di Singapura, kami berasa teruja untuk meluaskan kerjasama ini ke Malaysia dan memperkenalkan konsep Toy+Play kepada kanak-kanak dan juga orang dewasa yang berjiwa muda. 

“Kami berharap lebih ramai keluarga dapat menikmati cara baharu untuk bermain bersama,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Toys“R”Us Asia Leo Tsoi dalam kenyataan itu.

 Toys“R”Us Malaysia turut memperkenalkan Kiztopia Club, sebuah subjenama Kiztopia yang dibuka di dalam kedai perdana di Mid Valley Megamall itu dengan keluasan 5,500 kaki persegi, dilengkapi 18 kawasan permainan termasuk gelongsor, lubuk bola, gelanggang inflatable, trampolin, dinding memanjat dan bilik permainan peranan (role-play).

Sebagai promosi pembukaan Kiztopia Club, pengunjung boleh menikmati diskaun 15 peratus bagi Tiket Kemasukan Sekali serta diskaun 10 peratus untuk Pas Kemasukan 10 kali dan Pas Tahunan yang sah hingga 20 Okt ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kiztopia Heidi Tian berkata pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan Toys“R”Us Asia dan melancarkan kedai perdana Toy+Play sulung di Malaysia serta memperkenalkan Kiztopia pertama di negara ini.

“Sebagai syarikat pemilik harta intelek (IP) berdaftar di Singapura dengan 15 cawangan di lima negara, kami berdedikasi untuk menjadikan pengalaman bermain sambil belajar inovatif kami lebih mudah diakses oleh semua keluarga di seluruh Asia.

“Kerjasama ini menandakan komitmen dalam misi untuk mengukuhkan kehadiran kami di Malaysia dan pada masa sama meningkatkan hubungan kekeluargaan melalui pengalaman unik kami,” katanya.

Toys“R”Us membuka kedai pertamanya di Malaysia pada 2005 dan pembukaan kedai perdana ini menandakan kejayaan penting iaitu aktiviti bermain digabungkan dengan pembelajaran di kedai yang menampilkan reka bentuk generasi baharu, berestetika moden dan visual penyusunan produk lebih menarik.

Antara yang menarik di kedai perdana itu ialah pameran patung bersaiz sebenar termasuk Ultraman, Transformers, Iron Man, Batman, LOL dan Gabby’s Dollhouse, selain 10 kit model Gundam pemenang anugerah yang direka juara Piala Dunia Pembina GUNPLA.

Kedai itu juga menampilkan bahagian utama khas dinamakan Toy Valley yang mempamerkan mainan terlaris musim terkini, dan beberapa bahagian lain yang disusun dengan tema tersendiri termasuk Toy Hub, sebuah hab mainan yang dikuasai pemilik IP pertama di Malaysia yang mengumpulkan jenama ikonik seperti Hot Wheels, Barbie, Bandai, Disney Lifestyle, DC Comics dan LEGO.

Pelbagai barangan eksklusif yang menyeronokkan juga boleh didapati di bahagian ini.

“Kedai perdana ini juga menawarkan pelbagai produk untuk pengumpul tegar trend terkini seperti kotak misteri (blind box) dan juga mainan IP daripada Roblox, Adopt Me dan Aphmau!,” menurut Toys“R”Us Malaysia.

Antara promosi pembukaan rasmi ialah pemberian baucar RM10 percuma kepada 100 ahli kad Star Toys”R”Us pertama, selain hadiah dengan pembelian eksklusif bagi jenama Hot Wheels, Lego, Gundam, Beyblade, Tomica, Nerf dan Pokemon, sementara stok masih ada.

Untuk maklumat lanjut mengenai promosi, orang ramai digalakkan merujuk laman web atau media sosial Toys“R”Us Malaysia dan Kiztopia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan