POLITIK

PRK Mahkota: Pengundi Tunai Tanggungjawab Esok

27/09/2024 08:36 AM

KLUANG, 27 Sept (Bernama) -- Pengundi berdaftar bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat mereka esok selepas tempoh 14 hari berkempen tamat tengah malam ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan sebanyak 61,397 pengundi layak mengundi di 20 pusat melibatkan 109 saluran yang akan dibuka serentak pada 8 pagi hingga 6 petang. 

Pengundi mempunyai pilihan sama ada calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah, 40, atau wakil Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar, 61, dengan kedua-duanya juga akan menunaikan kewajipan pada PRK itu. 

Syed Hussien akan mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana manakala Mohamad Haizan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Melayu. 

Selasa lepas, pengundian awal PRK DUN Mahkota diadakan melibatkan 4,437 pengundi terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta polis, selain SPR turut mengeluarkan 607 undi pos pada 15 Sept. 

Selesai proses pengundian petang esok, proses penjumlahan undi akan berlangsung di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini. 

Bagi melancarkan proses pengundian, sebanyak 1,126 petugas dilantik untuk mengendalikan proses PRK itu, selain SPR juga menubuhkan satu pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya (PP-KPR) bagi memantau aktiviti kempen.  

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan cuaca di bandar Kluang pagi esok adalah baik, namun ribut petir dijangka melanda pada sebelah petang dengan suhu antara 23 hingga 33 darjah Celcius. 

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas, dan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022, Allahyarham yang mewakili BN menang dalam pertandingan empat penjuru dengan majoriti 5,166 undi. 

PRK DUN Mahkota ialah PRK keempat tahun ini selepas PRK DUN Kuala Kubu Baharu di Selangor, PRK DUN Sungai Bakap (Pulau Pinang) dan PRK DUN Nenggiri (Kelantan).

DUN Mahkota mula dipertandingkan pada 2004 dan telah melalui lima pilihan raya dengan empat daripadanya dimenangi BN. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan