DUNIA

Lubnan Lapor 1,540 Terbunuh Akibat Serangan Israel Sejak Oktober

27/09/2024 09:21 AM

BEIRUT, 27 Sept (Bernama-Anadolu) -- Lubnan pada Khamis melaporkan bahawa jumlah kematian akibat serangan Israel di seluruh negara meningkat kepada 1,540 sejak Oktober lalu, lapor Agensi Anadolu

Unit Pengurusan Risiko Bencana dalam satu laporan menyatakan jumlah yang cedera kini mencecah 5,410 dan jumlah individu yang dipindahkan dan didaftarkan di pusat perlindungan rasmi meningkat kepada 77,100 sehingga petang Rabu.

Laporan itu menyebut pusat perlindungan di kemudahan awam meningkat kepada 565 termasuk sekolah awam, kompleks pendidikan, institut vokasional dan pusat pertanian.

Ribuan lagi telah meninggalkan negara itu menyeberangi wilayah Lubnan ke Syria, dan agensi itu menganggarkan jumlah sebenar jauh melebihi kiraan rasmi.

Kenyataan itu turut menunjukkan bahawa dalam tempoh dua hari lalu, Keselamatan Am mendaftarkan perjalanan 15,600 warga Syria dan 16,130 warga Lubnan ke wilayah Syria.

Mengenai serangan Israel, laporan itu turut menyatakan bahawa sejak Isnin lalu, terdapat 7,034 serangan udara atau pengeboman, 248 serangan bom fosforus dan 133 insiden tembakan.

Israel menyerang Lubnan sejak awal Isnin dan mengorbankan sekurang-kurangnya 677 mangsa dan mencederakan lebih 2,500 orang, menurut angka yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

Kumpulan penentang Lubnan, Hizbullah, dan Israel terlibat dalam peperangan rentas sempadan sejak permulaan serangan Israel ke atas Gaza, yang menyebabkan lebih 41,500 korban, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak pada 7 Okt lalu.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan