AM

Lebih 83,000 Murid Terima Manfaat Fasa Pertama Program Anak Kita - Fadhlina

27/09/2024 01:38 PM

BATANG KALI, 27 Sept (Bernama) -- Seramai 83,752 murid melibatkan 3,458 sekolah seluruh negara akan menerima manfaat daripada pelaksanaan fasa satu Program Anak Kita yang bertujuan mengatasi isu keciciran pembelajaran di negara ini.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pelaksanaan itu merangkumi tiga pengisian iaitu Program 3M (membaca, mengira dan menulis), Program Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Program Murid Cicir.

“Untuk Program 3M libatkan 53,252 murid pemulihan khas tahun dua hingga enam daripada Johor, Perak, Selangor, Kelantan, Kedah, Sabah, Sarawak manakala Program SPM di seluruh negara merangkumi 10,000 murid Tingkatan 5 (SPM 2024) serta 20,000 murid Tingkatan 4 (SPM 2025).

“Bagi Program Murid Cicir pula akan melibatkan 500 murid keciciran dari enam negeri iaitu Selangor, Kedah, Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Anak Kita di Sekolah Kebangsaan Rasa di sini hari ini.

Program yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi tayangan video itu turut dihadiri Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Fadhlina berkata isu kemiskinan kekal menjadi naratif utama keciciran anak-anak dalam pelajaran, selain isu sosial. 

“Jadi komitmen besar kita dalam intervensi menerusi Program Anak Kita ini untuk pastikan golongan ini kembali dapat pendidikan tanpa ada lagi ketinggalan atau keciciran kerana kita tahu mereka ini masih ada potensi untuk dibantu dan ditingkatkan keupayaannya.

“Semua (golongan tumpuan) dalam program ini adalah daripada hasil data yang kita kumpulkan dan mereka akan diberi bantuan sama ada kemudahan tuisyen, pembelajaran bersemuka dan hibrid selain program mentor-mentee,” katanya.

Menurut Fadhlina pelaksanaan inisiatif berkenaan juga tidak menambah beban atau mengganggu warga pendidik kerana dilakukan di luar sesi persekolahan dan dikendalikan oleh tenaga pengajar luar. 

“Kita juga letakkan tanda aras (benchmark) tertentu dalam pelaksanaan program ini dan yakin ikhtiar ini hasilnya akan dapat dilihat seawal tahun hadapan terutamanya Program SPM bila kita boleh nilai menerusi keputusan dicapai pelajar dalam peperiksaan itu pada tahun hadapan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan