EKONOMI

Pertumbuhan Pengeluaran LNG Malaysia Dijangka Kukuh Dalam Jangka Pendek & Sederhana

27/09/2024 01:54 PM

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Pertumbuhan gas asli cecar (LNG) Malaysia dijangka mengukuh dalam jangka masa pendek dan sederhana apabila bekalan gas daripada projek baharu yang dibangunkan tersedia, kata BMI, unit Fitch Solutions.

Ia berkata dua projek gas asli utama yang baharu beroperasi pada 2024 meningkatkan prospek pengeluaran LNG Malaysia, termasuk SapuraOMV Upstream Sdn Bhd, pengendali lapangan gas Jerun di Blok SK408W, yang mengeluarkan gas pertamanya pada Julai 2024.

BMI berkata projek gas Jerun dijangka mengeluarkan kira-kira 550 juta kaki padu standard sehari (mmscfd) atau 5.7 bilion meter padu (bcm) gas asli ketika kemuncak pengeluaran.

"Dijangkakan lapangan itu kekal berdaya maju dari segi ekonomi sehingga 2050. Shell dan Petronas yang juga antara rakan kongsi projek itu masing-masing memegang kepentingan 30 peratus," katanya dalam satu nota hari ini.

BMI, bagaimanapun, menjangkakan risiko meningkat terhadap eksport LNG Malaysia berikutan peningkatan yang dijangkakan dalam pengeluaran LNG Bintulu.

Ia berkata pengeluaran gas asli Malaysia tidak dapat mencapai kapasiti penuh disebabkan kekurangan bekalan gas untuk pengeluaran LNG di loji Bintulu.

Sehingga hari ini, Malaysia komited untuk mengeksport 12 juta tan setahun LNG di bawah 18 kontrak jualan LNG jangka panjang, melibatkan enam daripadanya akan tamat antara 2024 dan 2025.

“Masih belum dipastikan sama ada Malaysia akan memperbaharui semua kontrak dengan pembeli Jepun, yang mengurangkan import LNG sebagai tindak balas kepada penurunan struktur permintaan LNG.

“Bagaimanapun, potensi penurunan dalam eksport LNG dari Indonesia boleh membantu Malaysia meningkatkan eksport dan memperoleh bahagian pasaran yang lebih besar di seluruh pasaran Asia,” kata BMI.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan