AM

PM Anwar Solat Jumaat Di Masjid Pulau Indah

27/09/2024 04:49 PM

KLANG, 27 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Abdul Aziz, Pulau Indah di sini.

Ketibaan Anwar pada kira-kira 1.15 tengah hari disambut Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, pengurusan Masjid serta jemaah yang hadir.

Anwar bersama hampir 1,000 jemaah, seterusnya mendengar khutbah bertajuk ‘Kenapa GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) Buat Begini Kepada Kanak-Kanak’ yang disampaikan Imam 1 masjid berkenaan Mohd Asyraf As'ad Zainuddin. 

Kandungan khutbah itu antara lain mengingatkan masyarakat bahawa anak-anak merupakan amanah daripada Allah SWT untuk dijaga kemuliaan dan kebajikan mereka. 

Ia antara lain turut menekankan kepentingan ibu bapa, penjaga dan peranan rumah amal yang mempunyai tanggungjawab besar dalam mencorak masa depan yang baik untuk golongan itu, dengan mewujudkan suasana serta persekitaran selamat.

Mimbar turut mengingatkan kewajaran penjagaan kanak-kanak menurut Islam dan menolak segala bentuk eksploitasi demi kepentingan sesetengah pihak. 

Terdahulu, Perdana Menteri juga berkesempatan menjamu selera di Dila Amazing Corner dekat sini, selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Westports 2 dan Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Westports dekat sini. 

Anwar ketika berucap pada majlis ramah mesra itu berkongsi sebab utama beliau menjadikan rutin solat Jumaat dan makan di warung-warung bersama rakyat ialah untuk lebih mendekati dan memahami permasalahan dialami rakyat.

“Selalu setiap Jumaat saya makan di warung, ramai yang nak sambut saya di hotel yang besar, lima bintang tetapi saya memilih untuk ke warung supaya saya tahu masalah dia apa, sewa dia berapa, kemudahan macam mana kemudian kita cuba selesaikan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan