POLITIK

Kemenangan PRK Mahkota Amanah Rakyat, Manifestasi Keyakinan Kepada Kerajaan Johor

29/09/2024 08:45 PM

KLUANG, 29 Sept (Bernama) -- Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota semalam, merupakan amanah kepada parti serta manifestasi keyakinan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan negeri Johor, kata Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata mandat besar yang diterima pada PRK itu juga akan memperkuatkan lagi tekad BN untuk terus membawa politik kesederhanaan bersama rakan dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Sesungguhnya kemenangan ini adalah amanah rakyat yang memberikan keyakinan kepada BN untuk terus istiqamah dalam mengangkat agenda membangunkan negara dan menyejahterakan kehidupan rakyat," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau juga berharap kemenangan itu akan menyuntik semangat membangunkan kembali seluruh potensi untuk bergerak membina kecemerlangan BN yang mendapat keyakinan dan sokongan rakyat. 

BN mempertahankan kerusi DUN Mahkota pada PRK semalam apabila Syed Hussien yang mewakili Kerajaan Perpaduan memperoleh kemenangan bergaya dengan majoriti besar 20,648 undi, jauh meninggalkan pencabar daripada Perikatan Nasional Mohamad Haizan Jaafar yang sekadar meraih 7,347 undi.

Sementara itu, ketika ditemui di Bangi, Selangor Zambry berkata gesaan supaya BN di Johor menubuhkan Kerajaan Perpaduan selepas kemenangan besar dalam PRK DUN Mahkota, bukan menjadi keutamaan pada masa ini.

“Bukan hanya di Johor (Kerajaan Perpaduan), sekarang ini kita kena fikir persiapan kita ke arah Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16)," katanya pada sidang media selepas program Jelajah Kampus MADANI In Person with Doc Zam: Tips and Tricks for Freshies, di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Zambry mengulas gesaan Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda yang mahu BN mewujudkan Kerajaan Perpaduan di Johor, selari dengan Persekutuan bagi mengekalkan momentum perpaduan dan sokongan rakyat.

Zambry berkata BN kini dalam rangka memberi tumpuan menyeluruh ke arah memantapkan parti bagi menghadapi PRU, lebih-lebih lagi selepas memenangi dua PRK berturut-turut iaitu di DUN Nenggiri dan Mahkota.

Dalam konteks kemenangan di (DUN) Mahkota semalam, ia menunjukkan bagaimana kerjasama baik yang ditunjukkan di peringkat BN dan komponennya.

“Kedua kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan, ini kita nampak hasilnya bila kita dapat bekerjasama tanpa wujud masalah,” katanya.

Zambry berkata BN juga akan terus mengamalkan politik kesederhanaan dan berharap kerjasama antara parti lain dalam Kerajaan Perpaduan, dapat mewujudkan kestabilan dalam negara. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan