AM

Anak Yatim Terharu Terima Bantuan Siswa Sulung Sambung Belajar Di USM

29/09/2024 04:03 PM

TASEK GELUGOR, 29 Sept (Bernama) -- Pelajar cemerlang Kolej Matrikulasi Pulau Pinang Syaidinatul Firzanah Zul Hisham bersyukur dipilih bagi Program Pembangunan Siswa Sulung (SULUNG) 3.0 yang membantu anak pertama dalam keluarga B40 melanjutkan pengajian ke Universiti Sains Malaysia (USM).

Syaidinatul Firzanah, 19, yang merupakan anak yatim selepas kematian ayahnya ketika berusia empat tahun berkata bantuan itu meringankan beban kewangan ibunya Roslina Lazim, 51.

Anak kedua daripada tiga beradik itu akan mendaftar masuk pada 4 Okt ini bagi melanjutkan pelajaran dalam program Ijazah Sarjana Muda Sains Dalam Kimia.

“Bantuan ini sebenarnya sangat membantu meringankan kewangan kami sekeluarga untuk saya sambung belajar. Lagipun sekarang ibu tidak bekerja dan hanya bergantung pada pencen penakat arwah ayah sebanyak RM1,100 setiap bulan sebagai pendapatan utama keluarga,” katanya kepada pemberita di rumah keluarganya di Kampung Air Melintas Besar di sini hari ini.

Syaidinatul Firzanah ditemui selepas menerima kunjungan Naib Canselor USM Prof Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed ke rumahnya bagi menyerahkan surat tawaran program SULUNG 3.0.

Beliau berkata mereka tiga beradik perempuan dibesarkan ibu dengan menumpang rumah nenek sejak kematian ayah kerana sakit jantung dan kini kakaknya Syaidinatul Aishah, 23, membantu perbelanjaan keluarga dengan bekerja di sebuah trak makanan.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata program berkenaan menyasarkan generasi pertama dalam keluarga B40 yang dapat melanjutkan pengajian ke universiti di peringkat ijazah sarjana muda, melibatkan 200 pelajar terpilih pada sidang akademik 2024/2025.

Beliau berkata mereka yang terpilih akan menerima manfaat pengecualian yuran iaitu semua kategori yuran, yuran berulang dan yuran tidak berulang, selain setiap pelajar mendapat bantuan RM12,000 sepanjang tempoh pengajian.

“Pada sesi akademik kali ini, USM menerima 1,600 permohonan dan kami membuat saringan termasuk turun ke lapangan ke rumah 400 pemohon sebelum memilih 200 daripadanya yang betul-betul layak supaya dapat menyambung pengajian di USM dan keluar daripada kemiskinan.

“Kita tak nak jadikan kemiskinan sebagai penghalang untuk mendapatkan pendidikan terbaik di Malaysia, kita menyahut seruan kerajaan untuk bersama-sama menghapuskan kemiskinan terutama miskin tegar,” katanya.

Seramai 1,000 pelajar menerima bantuan Siswa SULUNG meliputi peruntukan keseluruhan RM12 juta sejak diperkenalkan pada 2022.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan