AM

Lebih 100 Sukarelawan Jayakan Program Pembersihan, Pengindahan Pulau Rusukan Besar 

29/09/2024 06:19 PM

LABUAN, 29 Sept (Bernama) -- Lebih 100 sukarelawan bekerjasama menjayakan siri ketiga aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) Program Pembersihan dan Pengindahan Pulau Rusukan Besar di sini hari ini.

Program inisiatif strategik Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Perbadanan Labuan dan Yayasan Sukarelawan Siswa itu turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

JWP dalam kenyataan memaklumkan program terbabit menumpukan kepada usaha pembersihan dan pengindahan pulau sebagai usaha merancakkan industri pelancongan di Labuan.

“Sukarelawan berkenaan terdiri daripada wakil pelbagai agensi kerajaan, komuniti dan badan bukan kerajaan seperti JWP, Perbadanan Labuan, Yayasan Sukarelawan Siswa, Perbadanan Putrajaya, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Astro Awani, Persatuan Penggiat Media Labuan, Rakan Muda Labuan serta Persatuan Kontraktor G1,” menurut kenyataan itu.

Hasil daripada pelaksanaan program CSR itu, suasana Pulau Rusukan Besar kini bersih serta dilengkapi pelbagai kemudahan seperti ran, buaian, kafe dan tandas.

Menurut JWP, jeti baharu pula akan dibina pada Oktober ini bagi menggantikan jeti lama yang reput dan usang.

“Pelbagai kemudahan yang telah tersedia ini membuka peluang seluas-luasnya untuk dinikmati pelancong. Aktiviti pembersihan dan pengindahan ini memberi nafas baharu kepada Pulau Rusukan Besar sekali gus nilai tambah kepada industri pelancongan Labuan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan