JENAYAH & MAHKAMAH

12 Cedera Dua Kereta Bertembung Di Jengka

29/09/2024 08:30 PM

KUANTAN, 29 Sept (Bernama) -- Sebanyak 12 individu termasuk empat kanak-kanak cedera selepas dua kereta bertembung di Jalan Felda Jengka 4 menghala Maran hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang berkata kemalangan itu membabitkan kereta jenis Honda City dinaiki tiga lelaki dan dua wanita serta Perodua Bezza yang membawa seorang lelaki, dua wanita bersama empat kanak-kanak. 

“Bomba telah membantu mengeluarkan pemandu Honda City yang tersepit dalam kenderaan itu. Mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk dibawa ke hospital,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata lapan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Jengka digegaskan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 12.29 tengah hari. 

Dalam kes berasingan di Temerloh, seorang pemandu dan jururawat cedera ringan apabila ambulans dinaiki mereka terbalik selepas dipercayai hilang kawalan ketika mengelak sebuah motosikal di KM115.2 Lebuhraya Pantai Timur menghala Kuantan pagi tadi. 

Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mazlan Hassan berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika dua pemandu dan dua jururawat dalam perjalanan balik ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan. 

Beliau berkata ketika di lokasi kejadian, pemandu ambulans cuba mengelak motosikal berkenaan, namun dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar penghadang besi di sebelah kanan jalan. 

“Tiada pelanggaran berlaku dengan motosikal itu, namun akibat kemalangan itu seorang pemandu lelaki yang juga penumpang hadapan berusia 42 tahun luka di lutut kiri manakala jururawat lelaki berusia 34 tahun mengalami luka di siku kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan