AM

Premier Sarawak Rasa Senang Bekerjasama Dengan Perdana Menteri

29/09/2024 09:01 PM

KAPIT, 29 Sept (Bernama) -- Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyatakan beliau berasa amat senang untuk bekerjasama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara itu katanya adalah disebabkan rasa yakin dan percaya yang terbina di antara satu sama lain.

Berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin Masyarakat di Rumah Robert Edmund, Nanga Sebatu di sini sempena lawatan Anwar ke Kapit, beliau berkata Malaysia di bawah pentadbiran Perdana Menteri itu masih ‘manis’ sebagaimana pada masa ia ditubuhkan pada 1963.

Beliau berkata Anwar banyak membantu usaha-usaha pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

“Senang ini adalah disebabkan oleh yakin dan percaya satu sama lain. Macam saya kata, kita sentiasa bersatu padu menyokong kerajaan membangunkan wilayah kita,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin Komuniti Masyarakat di Dewan Suarah Kapit sebelum itu menyifatkan Anwar dan Abang Johari sebagai satu gandingan penuh keserasian dan hormat-menghormati serta persefahaman utuh dengan memegang satu tekad sama iaitu memulihkan dan mengangkat semula martabat Malaysia yang pernah dikenali sebagai 'Harimau Asia’.

Nanta berkata usaha mengangkat martabat Malaysia itu bukan mudah, tetapi pasti boleh dilakukan.

Kejayaan yang dicapai Sarawak pada masa ini mengikut beliau tidak dapat berdiri sendiri tanpa kestabilan pentadbiran kerajaan pusat.

Beliau berkata kestabilan itu adalah hasil kejayaan usaha Anwar membawa Malaysia melakar landskap politik baharu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan