AM

Banjir Di Terengganu Makin Buruk

20/11/2024 09:43 AM

KUALA TERENGGANU, 20 Nov (Bernama) -- Situasi banjir di Terengganu semakin buruk apabila jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah meningkat kepada 2,765 orang setakat 8 pagi ini berbanding 212 orang, malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) memaklumkan kesemua mangsa yang terdiri daripada 603 keluarga itu ditempatkan di 14 PPS.

Daerah Kemaman mencatat jumlah mangsa paling tinggi dengan 2,584 orang daripada 554 keluarga berlindung di lima PPS manakala di Hulu Terengganu sebanyak 94 orang daripada 25 keluarga berada di enam PPS.

Sebanyak 69 orang daripada 19 keluarga ditempatkan di satu PPS di Setiu, 13 orang daripada empat keluarga dipindahkan ke satu PPS di Marang.

Dungun yang menjadi daerah terbaharu dilanda banjir, merekodkan lima mangsa daripada satu keluarga yang dipindahkan ke satu PPS.

Sementara itu, laman web rasmi https://publicinfobanjir.water.gov.my memaklumkan paras air di Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik, Kemaman, merekodkan 2.26 meter melepasi paras amaran 1.9 meter. 

Empat lagi sungai iaitu Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman; Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan, Marang; Sungai Nerus di Kampung Bukit Setiu, Setiu; dan Sungai Terengganu di Rumah Pam Pulau Bahagia (F1), Kuala Terengganu berada pada tahap waspada.

Pada 14 Nov lepas, Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) mengeluarkan ramalan awal banjir yang dijangka berlaku di pesisiran pantai Kelantan, Pahang dan Johor (Timur) serta keseluruhan Terengganu bermula Isnin hingga esok.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan