AM

Mangsa Banjir Kemaman Dinasihatkan Tidak Pulang Ke Rumah Meski Cuaca Baik

20/11/2024 03:20 PM

CHUKAI, 20 Nov (Bernama) -- Mangsa banjir di daerah Kemaman dinasihatkan untuk tidak pulang ke rumah masing-masing meskipun keadaan cuaca baik setakat tengah hari ini dan banjir mulai surut. 

Pegawai Daerah Kemaman Fadli Yusof Zakaria bagaimanapun mengingatkan mereka yang telah berbuat demikian untuk terus berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa. 

"Kita tidak boleh jangka waktu sebenar banjir yang kemudian ini akan berlaku. Kalau boleh kita nak elakkan perpindahan mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS) pada waktu malam, selain untuk memudahkan kerja pasukan penyelamat.

"Kalau ikut ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), hujan lebat berterusan akan berlaku sehingga 23 Nov atau 26 Nov ini. Dan kita juga risau dengan fenomena air pasang besar ketika ini. Kita takut akan banjir lagi dan berlaku pemindahan semula," katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan Teluk Kalong di sini hari ini. 

Menerusi tinjauan Bernama di PPS berkenaan, tiada mangsa yang berada di situ tengah hari ini dan difahamkan mereka telah pulang ke rumah masing-masing untuk membersihkan kediaman sebagai mengambil peluang cuaca yang agak baik hari ini. 

PPS berkenaan difahamkan dibuka petang semalam bagi menampung lebihan mangsa banjir di PPS Darul Iman Training Centre (DITC) dan kedua-dua PPS itu menempatkan seramai 2,066 mangsa daripada 505 keluarga sehingga tengah malam tadi dengan kebanyakan mereka dari perumahan Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong.

Kemaman merupakan daerah pertama dan terburuk dilanda gelombang pertama banjir susulan Monsun Timur Laut tahun ini di Terengganu dengan data setakat 2 petang tadi mencatatkan seramai 2,620 mangsa daripada keseluruhan 2,831 mangsa di lima daerah terjejas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan