JENAYAH & MAHKAMAH

Tiga Peniaga Bebas Tuduhan Miliki Senjata Dan Culik, Cederakan Lelaki

21/11/2024 08:14 PM

KOTA BHARU, 21 Nov (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepaskan dan membebaskan tiga peniaga daripada pertuduhan memiliki senjata, menculik serta mencederakan seorang lelaki tahun lepas.

Hakim Zulkifli Abllah memerintahkan Muhamad Imran Mohamed Nor, 29, Mohamad Azameer Firdaus Ramlee, 26, dan Rozaimie Sharizan Ramli, 18, dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan berkenaan pada akhir pendakwaan setelah mendapati tiada keterangan yang boleh membuktikan elemen-elemen pertuduhan.

Keputusan berkenaan dilakukan selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Hasyime Rosli dan peguam mewakili tertuduh Muhammad Fariduddin Mat Noor dan Azeezi Nordin.

Pada 7 Julai tahun lepas, mengikut pertuduhan pertama, ketiga-ketiga lelaki itu secara bersama didakwa menyebabkan Mohd Hafendi Jaly, 36, cedera parah di tepi Pantai Kemayang, Tawang, Bachok pada 10.30 malam.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan penjara 20 tahun, denda atau sebat.

Bagi pertuduhan kedua, ketiga-tiga peniaga terbabit didakwa secara bersama telah menculik Mohd Hafendy di sebuah rumah di Kampung Wakaf Aik, Tawang, Bachok pada 8.45 malam, tarikh yang sama, di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan penjara tujuh tahun dan denda.

Bagi pertuduhan berasingan terhadap Mohamad Azameer Firdaus dan Muhamad Imran, mereka didakwa memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah pisau berhulu kayu panjang serta parang di dalam sebuah kereta di hadapan kedai di Kampung Pintu Gerbang, Tawang pada 1.15 pagi, 8 Julai tahun lepas. 

Mereka didakwa di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan