ARAU, 23 Nov (Bernama) -- Seorang suri rumah di sini mampu menjana pendapatan sekitar RM2,000 hingga RM3,000 sebulan selepas mengusahakan tanaman cendawan tiram dengan bantuan kepakaran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Roszaini Azlina Che Rusle, 32, berkata kejayaan itu hasil projek Driven for Community (D4C) di bawah Geran Program Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) 2020 di Perlis yang bermula pada 2021 melibatkan 24 peserta dari Arau, Kangar dan Padang Besar.
Roszaini Azlina berkata pada awalnya dia hanya menanam cendawan secara kecil-kecilan pada 2020 dengan pendapatan ratusan ringgit sebulan, sebelum menjadi peserta projek berkenaan yang kini boleh membantu penduduk kampung menambah pendapatan keluarga.
“Selepas diberi peluang mengembangkan perniagaan cendawan tiram ini, pendapatan saya kini mencapai RM2,000 hingga RM3,000 sebulan, dan mempunyai rumah cendawan sendiri," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran projek penanaman cendawan itu di sini hari ini.
Pelancaran itu disempurnakan oleh Pengarah Kanan Bahagian Penyampaian Strategik Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) Mohd Najib Jaafar, yang turut dihadiri Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Zaliman Sauli.
Projek penanaman cendawan tiram berkenaan menggunakan teknologi Internet Pelbagai Benda (IoT) hasil kajian UniMAP yang membantu peserta memantau dan mengawal kadar kelembapan, suhu serta wap air dalam rumah cendawan secara optimum.
Sehubungan itu, Roszaini Azlina berterima kasih kepada UniMAP dan TERAJU yang membuka peluang kepadanya terlibat dalam penanaman cendawan, yang menggunakan teknologi canggih bagi meningkatkan hasil tuaian dengan lebih efektif.
“Alhamdulillah, hasil tuaian saya semakin meningkat, dan saya berharap untuk terus mengembangkan perniagaan ini pada masa akan datang,” katanya.
Berkongsi pendapat sama, seorang pemandu lori dari Padang Besar, Jantan Mahadi, 42, berkata dia dapat menambah pendapatan sampingan dengan menanam cendawan itu.
“Saya mula menceburi bidang penanaman cendawan tiram ini sejak 2022. Saya tidak menyangka bidang ini boleh menjadi sumber pendapatan tambahan yang baik. Kini, pendapatan kasar saya daripada cendawan sahaja mencecah RM2,000 hingga RM3,000 sebulan,” katanya.
Jantan yang tinggal di kawasan kampung menganggap penanaman cendawan berkenaan sebagai peluang yang sangat sesuai untuk diterokai golongan muda.
“Kawasan kampung memang sangat sesuai untuk penanaman cendawan kerana ia memerlukan ruang yang luas. Selain itu, minat saya terhadap penanaman cendawan juga menjadikan ia pilihan yang tepat,” katanya.
Jantan berkata sokongan teknologi yang diberikan oleh UniMAP membawa perubahan besar dalam hasil tuaian cendawan, yang sebelum ini menggunakan cara tradisional.
“Saya harap lebih ramai golongan muda akan menceburi bidang pertanian ini. Selain dapat menambah pendapatan sampingan, ia juga adalah bidang yang berpotensi untuk terus berkembang,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial