MANJUNG, 23 Nov (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung tindakan seorang pensyarah didakwa menghina Nabi Muhammad SAW ketika berceramah di sebuah konvensyen baru-baru ini.
Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata pihaknya telah meminta siasatan segera termasuk satu laporan lengkap mengenai insiden berkenaan sejurus isu itu tular.
"Saya dimaklumkan perkara ini telah dalam siasatan polis dan satu kertas siasatan dibuka jadi lebih baik kita serahkan kepada pihak berkuasa.
"Di peringkat kementerian pula kita akan tunggu maklum balas dan hasil dapatan lanjut namun setakat ini saya belum mendapat laporan lengkap mengenai perkara terbabit," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program 'In Person With Doc Zam@Lumut dan Pelancaran Inisiatif Siswa Aspirasi Rakyat Kementerian Pendidikan Tinggi (Sasar KPT) dekat sini.
Pada Khamis lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung insiden berkenaan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.
Polis menerima laporan berhubung kejadian itu Rabu lepas selepas pengadu memaklumkan terkesan dengan sebuah hantaran di laman Facebook menyatakan seorang pensyarah dikatakan menghina Nabi Muhammad SAW di dalam program yang dikendalikan oleh individu berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial