BERITA TERGEMPAR | Malaysia conveys deepest appreciation, welcomes flood aid from Pakistan in honour of friendship between both countries - PM Anwar | |
KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Sempena Kepengerusian ASEAN 2025, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan memanfaatkan platform itu untuk memperkasa serta mempromosi industri kraf tangan tempatan ke pasaran serantau dan antarabangsa sekali gus mengangkat warisan budaya negara di mata dunia.
Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Roslan Abdul Rahman berkata kementerian itu telah mengenal pasti komuniti yang berpotensi dan boleh dibantu bagi melestarikan kraf tangan tempatan dengan menambah baik reka bentuk dan kualiti produk.
Beliau berkata MOTAC meletakkan harapan tinggi dalam memanfaatkan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi menjalinkan kerjasama lebih erat dengan negara anggota lain untuk memperkukuh strategi pemasaran hasil kraf tangan tempatan ke peringkat serantau dan global.
“Kita perlu belajar dari negara-negara ASEAN cara mereka membawa produk kraf mereka ke pasaran antarabangsa,” katanya kepada Bernama selepas sesi taklimat bersama media tempatan dan asing berkaitan Komuniti Sosiobudaya ASEAN (ASCC) sempena Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 di sini hari ini.
Roslan berkata MOTAC telah menganjurkan pelbagai program yang memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pengeluaran produk kraf berkualiti khususnya dalam kalangan ibu tunggal dan golongan B40.
“Dari segi penghasilan, kita dapat lihat seperti di utara, selatan dan Borneo, terdapat pelbagai produk kraf tangan yang sangat berkualiti namun di peringkat MOTAC, kita berdepan cabaran dalam aspek pemasaran untuk mempromosikan produk-produk ini kepada pasaran yang lebih luas,” katanya.
Beliau juga berkata Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 akan membuka landasan baharu untuk memperkenal hasil seni kraf Malaysia ke pentas dunia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial