IPOH, 29 Nov (Bernama) -- Sebanyak 47 projek atau 17.2 peratus daripada 273 projek dan program di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030 berada dalam status siap sepenuhnya, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu hari ini.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata 174 projek atau 63.8 peratus pula berstatus dalam pelaksanaan dan 52 projek atau 19 peratus lagi dalam perancangan bagi pelan itu, yang baru memasuki tahun kedua pelaksanaannya.
"Kerajaan Negeri menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri akan melaksanakan Kajian Separuh Penggal (KSP) Pelan Perak Sejahtera 2030 yang akan melihat dan mengkaji semula penetapan dan pelaksanaan Pelan Perak Sejahtera.
"Ia termasuk meneliti Penetapan Petunjuk Utama bagi setiap Agenda, Pengkhususan Daerah serta Flagship di dalam Pelan Perak Sejahtera 2030 agar kita dapat memperkukuhkan kemampanan negeri, membangunkan masyarakat yang sejahtera dan menjadikan negeri perak sebuah negeri yang progresif dan berdaya saing," katanya pada sesi soal jawab persidangan DUN Perak di sini.
Saarani (BN-Kota Tampan) menjawab soalan Datuk Sharul Zaman Yahya (BN-Rungkup) yang ingin tahu mengenai pencapaian indeks prestasi utama keseluruhan Visi Perak Sejahtera 2030 yang telah memasuki tahun kedua pelaksanaannya.
Terdahulu Saarani merasmikan Majlis Pelancaran Portal Rasmi Dewan Negeri Perak di ruang legar sebelum persidangan DUN bermula.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial