AM

Buang Sampah Kecil: Mesyuarat Jemaah Menteri Setuju Laksana Hukuman Khidmat Masyarakat

29/11/2024 11:18 PM

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju dengan cadangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk melaksanakan hukuman khidmat masyarakat bagi kesalahan pembuangan sampah kecil melalui pindaan undang-undang.

Menteri berkenaan Nga Kor Ming berkata hukuman itu akan dilaksana melalui penyediaan draf Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) serta Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

"Ini kerana isu pembuangan sampah kecil merata-rata masih menjadi kebimbangan walaupun Malaysia telah mencapai pelbagai kemajuan dalam usaha menuju status negara maju.

"Justeru, bagi memperketat tindakan penguatkuasaan, suatu hukuman berbentuk khidmat masyarakat wajar dikenakan kepada pesalah yang disabitkan dengan kesalahan membuang sampah kecil," katanya pada sidang media ketika menghadiri majlis Anugerah Kecemerlangan Media KPKT 2024 di sini malam ini.

Beliau berkata penguatkuasaan berkaitan pembuangan sampah kecil masih dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui punca kuasa di bawah Akta 133 dan Akta 171 namun ia tidak melibatkan hukuman khidmat masyarakat.

Nga berkata walaupun PBT memperkenal hukuman denda namun itu tidak menjadi halangan kepada pesalah daripada mengulangi tabiat membuang sampah kecil merata-rata.

"Oleh itu, pindaan kepada Akta 171 dan Akta 133 akan mewujudkan punca kuasa bagi pelaksanaan hukuman khidmat masyarakat oleh PBT di seluruh negara.

“Akta 672 turut akan dipinda dan penguatkuasaan akan meliputi negeri-negeri yang menerima pakai akta tersebut," katanya.

Beliau berkata ia bagi mewujudkan punca kuasa yang jelas kepada Kerajaan Persekutuan untuk mengawal selia aktiviti pembuangan sampah kecil dan melaksanakan hukuman khidmat masyarakat.

Nga turut menyasarkan untuk membentang RUU itu dalam sesi Dewan Rakyat pada suku pertama 2025. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan