BERITA TERGEMPAR | Malaysia conveys deepest appreciation, welcomes flood aid from Pakistan in honour of friendship between both countries - PM Anwar | |
KOTA BHARU, 30 Nov (Bernama) -- Situasi banjir yang dilihat semakin kritikal melanda negeri Kelantan sehingga mencecah hampir 100,000 mangsa, kini mendapat perhatian pempengaruh media sosial dan beberapa usahawan tempatan termasuk Khairul Aming, yang turun padang membantu mangsa banjir.
Khairul Amin Kamarulzaman menerusi posting di Instagram miliknya memaklumkan sebaik tiba di Kelantan semalam, dalam tempoh dua jam beliau berjaya kumpul bantuan untuk 2,000 mangsa banjir di Pasir Mas.
“Terima kasih untuk semua sukarelawan yang turut datang menderma barang keperluan. Kita bekalkan ke dua buah sekolah. Ada nasi, pakaian, ubat, tuala wanita, makanan kucing, selimut dan lain-lain.
“Hari ini kita akan membantu dengan lebih meluas. Kilang KA (Khairul Aming) akan bawa beribu dendeng yang dah retort dan kita juga akan sediakan nasi dan barang keperluan penuh satu lori besar untuk hari ini. Sukarelawan dijemput untuk membantu dan menyumbang tenaga,” katanya menerusi posting itu.
Terdahulu, posting itu tular di media sosial yang rata-rata netizen memuji tindakan usahawan tempatan itu. Posting itu turut mendapat tanda suka daripada lebih 80,000 pengguna Instagram dengan jumlah tontonan cecah satu juta.
Rata-rata pengguna media sosial memuji tindakan itu, termasuk memberi sokongan dengan menjadi sukarelawan untuk pempengaruh media sosial itu untuk membungkus pek makanan kepada mangsa banjir.
Sementara itu, menerusi posting pemilik Facebook rasmi ‘Senok Perut’ turut menyatakan beberapa pengasas kedai makanan viral dan produk Kelantan juga turut tampil membantu mangsa banjir di seluruh negeri ini.
Menerusi posting itu, memaklumkan antara yang tampil membantu ialah Pengusaha Restoren Colek Bini yang dikenali sebagai ‘Kak Siti’; pemilik The Ve Cafe Bachok iaitu Shervin Fahri; Pemilik Nasik Berlauk Malam, Sudin Kubis; Pengasas Tina Beauty Coffee, Siti Nurul Atina; Pengasas Elrah iaitu El Azman; dan lain-lain.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat 4 petang ini sebanyak 288 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di seluruh negeri, dengan menempatkan 91,548 mangsa.
Setakat ini, cuaca di seluruh negeri masih di landa hujan, dan keadaan juga mendung sepanjang hari.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial