KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini bertitah supaya graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) terus menjunjung amanat universiti untuk "Berilmu Berbakti” dengan jiwa tulus dan ikhlas.
UPM dalam kenyataan memaklumkan baginda selaku Canselor UPM turut menegaskan kepada graduan agar menghargai dan mengingati jasa ibu bapa serta pendidik di universiti berkenaan.
“Taburkan kembali jasa kepada agama, bangsa dan negara. Ingatlah ilmu dan bakti yang kita semai hari ini akan memberikan manfaat kepada diri sendiri dan generasi akan datang.
“Beta mengucapkan syabas dan tahniah kepada graduan UPM dan ingatlah asal usul anda dan dari mana kita bermula serta sematkan Menara Ilmu ini dalam ingatan sebagai tempat menimba ilmu yang terbaik,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada sesi pertama Majlis Konvokesyen UPM ke-48 Sidang 2 di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah UPM, di Serdang di sini hari ini.
Pada istiadat sama, Sultan Sharafuddin turut berkenan mengurniakan Anugerah Ijazah Kehormat kepada Profesor Emeritus Tan Sri Dr Syed Jalaludin Syed Salim dan gelaran Profesor Emeritus kepada Datin Paduka Setia Datuk Dr Aini Ideris.
Sultan Sharafuddin turut menzahirkan harapan agar graduan UPM menjadi pemimpin berintegriti kepada organisasi dan masyarakat dalam setiap pekerjaan serta menjalankan tanggungjawab mereka sebaik-baiknya.
“Beta berharap para graduan mengamalkan nilai baik ini yang akan mewujudkan masyarakat dihormati serta dipandang tinggi dunia luar,” titah baginda.
Menurut kenyataan itu, Sultan Sharafuddin juga menzahirkan harapan agar Pelan Tindakan Keterjaminan Makanan yang diperkenalkan UPM akan memacu strategi dan inisiatif terkini bidang pertanian untuk membantu negara mencapai keterjaminan makanan yang mampan.
“Pandangan negatif masyarakat yang melabelkan bidang pertanian sebagai bidang tiada masa depan atau kelas rendah perlu diubah. Masyarakat perlu yakin bahawa bidang pertanian mempunyai potensi dan masa depan cerah serta mampu memberi peluang lumayan kerana produk asas tani sentiasa mempunyai permintaan tinggi,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah bidang pertanian juga membantu bidang lain terutama sektor berasaskan pertanian untuk berkembang maju seiring kepesatan teknologi.
Baginda mengesyorkan UPM menjalin kerjasama dengan institusi pertanian lain bagi mencari jalan mempopularkan semula sektor pertanian di negara ini terutama kepada generasi muda.
Sementara itu, kenyataan tersebut memaklumkan 6,056 graduan menerima ijazah masing-masing iaitu 608 graduan Doktor Falsafah (PhD), Sarjana (1,509), Sarjana Muda (3,934) dan Diploma (lima) pada konvokesyen tahun ini yang akan berlangsung tujuh hari hingga 6 Dis ini.
Majlis Konvokesyen ke-48 Sidang 1 UPM Kampus Bintulu telah berlangsung pada 2 dan 3 Nov lepas di Dewan Sri Kenyalang UPM Kampus Sarawak (UPMKB) dengan 473 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial