AM

MB Kedah Dan Keluarga Berpindah, Kediaman Rasmi Ditenggelami Air

30/11/2024 10:46 PM

ALOR SETAR, 30 Nov (Bernama) -- Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor serta keluarganya terpaksa berpindah ke tempat yang lebih selamat selepas kediaman rasmi di Seri Mentaloon di sini semakin ditenggelami air.

Pegawai Khas Media Menteri Besar Helmi Khalid berkata paras air di kediaman rasmi itu semakin meningkat mulai pagi tadi dan menghampiri satu meter pada petang kesan daripada limpahan Sungai Anak Bukit yang terletak di belakang Seri Mentaloon.

"Menteri Besar mengambil keputusan untuk berpindah lebih awal tengah hari tadi ke tempat yang lebih selamat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, Helmi turut berkongsi di media sosialnya video yang memaparkan Muhammad Sanusi menggendong anak perempuannya keluar dari kediaman itu untuk berpindah berikutan air telah mencecah paras pinggang.

Isteri beliau, Tok Puan Seri Jusmalailani Jusoh dan anak-anak mereka yang lain turut kelihatan membawa dan mengangkat beg keluar dari kediaman berkenaan.

Semalam, media melaporkan kediaman rasmi Menteri Besar Kedah setinggi dua tingkat ditenggelami air sejak pagi dan kediaman itu terletak tidak sampai 100 meter dari tebing Sungai Anak Bukit.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan