AM

Banjir: Polis Nasihat Jangan Redah Arus Deras, Berhati-hati Ketika Memandu

01/12/2024 01:22 PM

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Polis menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada ketika memandu sepanjang musim Monsun Timur Laut, terutamanya di negeri yang terjejas akibat banjir.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata ia susulan risiko hujan lebat, banjir, arus deras dan air bertakung yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

“Contohnya seperti yang terjadi kepada seorang penunggang motosikal nyaris maut selepas dihanyutkan arus deras banjir di Lubok Cina, Melaka pada hari Jumaat lepas. Kita nasihatkan orang ramai untuk berhati-hati memandu dan elakkan mengambil risiko untuk meredah banjir, arus yang deras,” katanya ketika dihubungi pagi ini.

Beliau berkata orang ramai juga dinasihatkan mematuhi arahan pihak berkuasa dan papan tanda amaran banjir yang ditempatkan di kawasan terjejas akibat bencana alam itu.

Mohd Yusri seterusnya menyarankan orang ramai untuk mendapatkan perkembangan terkini laluan yang terjejas akibat banjir, lencongan jalan dan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan serta memastikan perjalanan lebih selamat.

Keadaan banjir di sembilan negeri di Semenanjung dilaporkan semakin buruk selepas jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 152,377 orang pagi ini, berbanding 146,611 malam tadi.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan