AM

Tujuh PBT Di Perak Terima Kamera Badan

03/12/2024 02:25 PM

IPOH, 3 Dis (Bernama) -- Tujuh pihak berkuasa tempatan (PBT) terpilih di Perak menerima kamera badan atau body worn camera (BWC) bagi fasa pertama Program Penggunaan Kamera Badan BWC yang penggunaannya berkuat kuasa serta-merta.

PBT berkenaan ialah Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Majlis Daerah Kampar (MDKpr) dan Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak Sandrea Ng Shy Ching berkata pihaknya telah mengambil inisiatif melaksanakan Program Penggunaan Kamera Badan BWC secara uji kaji atau proof of concept (POC) selama tiga bulan sejak Ogos lepas.

Beliau berkata beberapa sesi perbincangan dan libat urus bersama PBT terlibat telah dilaksanakan bagi membantu penguat kuasa dalam melaksanakan tugas sebelum melancarkan penggunaannya secara rasmi. 

"Cadangan penggunaan kamera badan ini bermula berikutan timbulnya isu kontroversi berkaitan operasi penangkapan haiwan jalanan.

"Sehubungan itu, kerajaan negeri memutuskan untuk melaksanakan penggunaan kamera badan dalam setiap tindakan penguatkuasaan di kawasan PBT bagi memastikan operasi dijalankan dengan lebih telus, profesional dan beretika untuk kebaikan bersama," katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kamera Badan Kepada PBT Negeri Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Ng berkata kerajaan negeri juga merancang membuat pengagihan bagi fasa kedua program penggunaan kamera itu kepada lapan PBT lain pada suku pertama 2025.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan