KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) bersedia mempertimbangkan cadangan untuk memperkenalkan latihan berterusan dan pengujian tahap kompetensi secara berkala kepada pemandu kenderaan berat bagi menangani isu peningkatan kemalangan maut melibatkan kenderaan terbabit.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata kemalangan maut yang disebabkan kecuaian pemandu kenderaan berat tidak boleh dipandang ringan, apatah lagi banyak usaha pencegahan telah dilakukan namun belum mendatangkan hasil berkesan.
“Saranan itu memang baik, sebab kalau nak tunggu lesen pemandu luput dan baru nak tengok (tahap kompetensi mereka) itu memang tidak praktikal. Jadi kita akan ambil perhatian terhadap cadangan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Datuk Mustafa Musa yang ingin tahu sama ada kerajaan bersedia menyemak syarat kelayakan pelesenan untuk pemandu Kelas E (lori dan kenderaan berat) sebagai menangani isu peningkatan kemalangan maut membabitkan kedua-dua jenis kenderaan berkenaan.
Mustafa juga mencadangkan kepada kerajaan untuk memperkenalkan latihan berterusan dan pengujian tahap kompetensi secara berkala kepada mereka bagi mengekalkan tatakelola dan disiplin pemandu, yang kini sudah dilaksanakan terhadap pemandu kren bergerak dan kren menara.
Menurut Hasbi, sepanjang 2022 hingga 2024, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan lebih 1.512 juta notis saman atas pelbagai kesalahan melibatkan kenderaan perdagangan dengan 7,259 kompaun berkaitan lebihan muatan.
Selain itu, Hasbi berkata sebanyak 5,559 audit telah dijalankan terhadap 3,088 syarikat sepanjang 2019 hingga 2024 yang menyaksikan 210 lesen pengendali dan 67 permit kenderaan digantung serta dua lesen pengendali dan 32 permit kenderaan dibatalkan.
“Tindakan ini diambil berdasarkan kes kemalangan, aduan dan dapatan dari laporan pemeriksaan dan audit keselamatan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) kerana kesalahan membawa lebihan muatan misalnya menjadi satu punca kegagalan pada sistem brek susulan pemanasan melampau akibat muatan berlebihan, terutama ketika menuruni bukit,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial