AM

NAMLIFA Gesa BNM, MoF Keluarkan Arahan Hentikan Sementara Penentuan Semula Harga Premium Perubatan

06/12/2024 06:49 PM

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) --  Persatuan Kebangsaan Insurans Hayat Malaysia dan Penasihat Takaful Keluarga (NAMLIFA) menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan (MoF) untuk mengeluarkan arahan menghentikan sementara langkah penentuan semula harga premium perubatan.

Presidennya Krishnan Appanu mencadangkan penanggung insurans dan pengendali takaful (ITO) yang diwakili oleh Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA) mungkin akan memperkenalkan kenaikan premium secara berperingkat dengan pelan pembayaran fleksibel yang meringankan beban pengguna.

“Ketika ini, saya menggesa semua pihak berkepentingan termasuk persatuan insurans, pengendali takaful, penyedia penjagaan kesihatan terutamanya BNM untuk bekerjasama rapat bagi menangani isu ini dengan cara saksama dan mudah difahami oleh orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pengumuman terbaharu oleh LIAM, MTA dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) mengenai pelarasan kadar premium insurans perubatan telah mencetuskan kebimbangan orang ramai.

Krishnan menekankan bahawa inflasi terkumpul yang ketara sebanyak 56 peratus dalam kos tuntutan perubatan antara 2021 dan 2023, didorong oleh peningkatan kos rawatan, teknologi penjagaan kesihatan termaju dan peningkatan penggunaan perkhidmatan penjagaan kesihatan telah menimbulkan kerumitan dihadapi oleh industri.

"Walaupun pelarasan kadar premium mungkin diperlukan untuk mengekalkan daya maju pelan insurans perubatan, pelaksanaannya mesti dikendalikan dengan teliti dan telus," katanya.

Beliau juga menekankan penting bagi penyedia insurans dan pihak berkuasa berkaitan mempergiat usaha untuk mendidik orang ramai mengenai sebab pelarasan kadar premium dilakukan.

"Ini termasuk menerangkan bagaimana inflasi perubatan, penarafan risiko individu dan ciri-ciri produk menyumbang kepada penentuan semula harga dan langkah-langkah yang diambil untuk meminimumkan kesannya terhadap pemegang polisi," tambahnya.

Krishnan mengakui bahawa BNM sebagai pihak berkuasa kawal selia untuk sektor insurans dan takaful telah memperkenalkan Dokumen Polisi Insurans Kesihatan Perubatan dan Takaful untuk memastikan amalan adil.

“Memandatkan perkongsian bersama produk perubatan dijangka meningkatkan kecekapan tuntutan perubatan dan menyediakan premium jangka panjang yang mampan untuk pengguna.

"Seiring dengan itu, perkongsian data dalam kalangan ITO akan mempromosikan caj rawatan kompetitif daripada penyedia penjagaan kesihatan swasta," katanya.

Sementara itu, menerusi perkongsian data disediakan, NAMLIFA juga menggesa Kementerian Kesihatan dan MoF untuk bekerjasama rapat dengan BNM untuk memantau caj hospital, buat masa ini ia tidak dikawal.

“Saya menyeru BNM untuk melibatkan diri dengan penanggung insurans dan pengendali takaful untuk merangka garis panduan yang mengimbangi keperluan untuk kemampanan premium dengan kemampuan untuk pemegang polisi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan