AM

PKOB Mahu 80,000 Penduduk Gua Musang Siap Sedia Hadapi Gelombang Baharu MTL

06/12/2024 09:34 PM

GUA MUSANG, 6 Dis (Bernama) -- Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) menasihatkan hampir 80,000 penduduk di daerah itu untuk berwaspada bagi menghadapi gelombang baharu Monson Timur Laut (MTL). 

Pengerusi PKOB Gua Musang Nik Raisnan Daud berkata penduduk perlu sentiasa bersedia, walaupun gelombang banjir yang sebelum ini di Gua Musang dalam keadaan terkawal. 

Beliau berkata kenaikan paras air secara mendadak boleh berlaku bila-bila masa sahaja berikutan cuaca tidak menentu, malah hujan lebat kerap berlaku di kawasan hulu Gua Musang.

“Walaupun daerah ini tidak terlibat dengan banjir besar seperti daerah lain, tidak bermakna penduduk boleh berada dalam keadaan selesa.

“Mereka yang tinggal di kawasan rendah dan berhampiran sungai perlu membuat kesiapsiagaan menghadapi gelombang baru MTL dan menurut ramalan hujan berterusan boleh menyebabkan berlaku banjir terutama di kawasan rendah,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Meranto, hari ini.

Mengulas lanjut Nik Raisnan berkata pihaknya kini telah menambah beberapa kemudahan di tempat perlindungan untuk keselesaan penduduk yang akan terjejas banjir nanti.

“Kami kini dalam keadaan bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan sekiranya berlaku banjir besar, selain persediaan peralatan keperluan di atas bukit, PKOB turut menyediakan kemudahan tandas bergerak untuk kemudahan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata jalan lencongan di Kilometer 35 Jalan Gua Musang-Jeli kini giat dilaksanakan, bagi membantu 3,000 penduduk di sekitarnya yang terputus hubungan.

“Jalan lencongan ini dijangka siap dalam tempoh seminggu lagi, termasuk mempercepatkan pembinaannya juga mendapat bantuan dari pelbagai pihak.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memberi amaran hujan berterusan dijangka akan berlaku di negeri ini dalam tempoh 8 Dis, Ahad sehingga 11 Dis, Rabu minggu hadapan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan