SEREMBAN, 8 Dis (Bernama) -- Masyarakat di Negeri Sembilan perlu memanfaatkan Pusat Sebaran Nasional (NADI) secara optimum bagi memperkasakan kemahiran pelbagai bidang seterusnya menjadi komuniti proaktif dan inovatif.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyediakan 62 NADI yang menawarkan pelbagai kemudahan bagi kegunaan rakyat di negeri itu.
Beliau berkata komitmen dan usaha MCMC bersama agensi kerajaan lain menjadi pemangkin dalam menjadikan Negeri Sembilan sebagai negeri pintar yang berupaya melahirkan modal insan berkualiti tinggi.
"Sebagai platform memperkasa komuniti melalui inovasi digital, NADI kini menjadi pemangkin kepada transformasi digital masyarakat.
"Selain berperanan menyediakan capaian Internet di kawasan yang sebelum ini terhad liputannya, NADI juga membuka peluang untuk komuniti mendalami teknologi baharu, meningkatkan kemahiran dan memacu sosioekonomi setempat," katanya ketika berucap pada majlis perasmian NADI Sikamat di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital, Datuk Mohd Faizal Ramli, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Zafir Ibrahim, Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri MCMC Bukhari Yahya, Pengarah Kanan MCMC Wilayah Selatan Mohamad Rizal Ahmad dan Pengarah MCMC Negeri Sembilan Md Tahir Musa.
Aminuddin berkata perkhidmatan pintar yang ditawarkan di NADI bukan sahaja menyediakan capaian Internet luas malah memberikan ruang kepada komuniti berinteraksi untuk mendapatkan maklumat terkini dan mengasah potensi diri dalam pelbagai bidang seperti keusahawanan dengan menggunakan teknologi terkini.
"Sebagai contoh, NADI di negeri ini berjaya membimbing lebih 200 usahawan menerusi program perkhidmatan pintar sejak diperkenal pada Julai lepas," katanya.
Beliau berkata terdapat 11 NADI baharu yang sedang dibangunkan manakala empat daripadanya telah beroperasi di Sikamat, Bukit Kepayang, Mambau dan Ampangan manakala di Johol, Pilah, Seri Menanti, Rahang, Temiang, Seremban Jaya dan Chuah dijangka siap sepenuhnya sebelum akhir tahun ini.
Pada majlis itu, Aminuddin turut memberi penghargaan kepada 45 Sukarelawan ICT Malaysia (MIV) peringkat negeri yang telah melaksanakan pelbagai aktiviti bagi memperkasakan literasi digital komuniti sepanjang tempoh tiga bulan.
Guru Bahasa Inggeris dari Sekolah Kebangsaan Taman Warisan Puteri iaitu Nur Shazmin Ramli berkata pengisian program di NADI seperti STEM eKelas dan kelas Microbit mampu membantu pelajar meningkatkan pengetahuan serta kemahiran berkaitan Kecerdasan Buatan (AI) yang boleh dimanfaatkan di sekolah.
Nur Shazmin, yang juga mengajar subjek Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), turut meluahkan rasa gembira kerana program tambahan berkaitan AI juga disediakan di pusat berkenaan sekali gus memberi nilai tambah kepada pelajar luar bandar dalam menguasai teknologi.
“Program Microbit ini termasuk dalam silibus RBT untuk murid tahap dua iaitu seawal Tahun Empat dan melalui program ini, murid diajar asas pengekodan yang menjadi platform untuk mempelajari robotik pada Tahun Enam,” katanya.
“Di sekolah, set Microbit tidak mencukupi dan pelajar perlu berkongsi, jadi dengan adanya kemudahan yang disediakan di NADI, pelajar boleh datang ke sini untuk mempraktikkan penggunaan Microbit tersebut,” katanya.
Bagi pesara kerajaan Mat So'od Mohammad, 65, NADI Sikamat bukan sahaja menyediakan perkhidmatan Internet malah membolehkan warga emas dan penduduk sekitar menjalani pemeriksaan kesihatan seperti darah tinggi serta kencing manis sebelum dirujuk ke klinik atau hospital berdekatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial