AM

INNOMED LONJAK MALAYSIA SEBAGAI HAB PERANTI PERUBATAN - KP KESIHATAN

10/12/2024 09:39 PM

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Kerjasama awam-swasta melalui inisiatif INNOMed berpotensi mencipta asas ekosistem inovasi yang kukuh dalam penjagaan kesihatan sekali gus memberi manfaat kepada setiap lapisan masyarakat, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

Beliau berkata kerjasama itu terutamanya antara Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia (MDA) dan Persatuan Pengilang-Pengilang Peranti Perubatan Malaysia (PERANTIM) merupakan langkah penting Malaysia untuk menjadi hab inovasi yang pesat dalam industri peranti perubatan.

"Kerjasama seperti ini menyerlahkan potensi transformasi melalui penyelarasan antara agensi kerajaan dan kreativiti sektor swasta. Ia bukan sekadar soal pertumbuhan ekonomi, tetapi juga mencerminkan tanggungjawab moral untuk memajukan teknologi perubatan dan penjagaan kesihatan, sekali gus meletakkan Malaysia peneraju global dalam industri ini," katanya.

Dr Muhammad Radzi berkata demikian dalam ucapan perasmian program INNOMed: Innovation Pitching Powered by PERANTIM di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MDA Dr P. Muralitharan.

"Program ini mendorong kerjasama dan inovasi dalam industri peranti perubatan, menyokong aspirasi Malaysia menjadi hab serantau dan peneraju global dalam bidang ini. Usaha seperti ini penting untuk memastikan akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti tinggi untuk manfaat semua" katanya.

Sementara itu, Dr Muralitharan menyifatkan INNOMed sebagai langkah berani untuk meningkatkan kedudukan Malaysia dalam landskap peranti perubatan global. 

"Melalui sokongan ekosistem inovasi dan kawal selia sandbox, kami memastikan idea-idea cemerlang dapat berkembang menjadi penyelesaian nyata yang memanfaatkan masyarakat," katanya.

Program berkenaan melibatkan 31 inovator universiti tempatan seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), MAHSA University dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), yang mempamerkan projek-projek inovasi berpotensi tinggi.

Sebagai sebahagian daripada Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) 2024, ia turut menampilkan sesi picing inovasi serta perkongsian daripada tokoh industri termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Robopreneur Sdn Bhd Dr Hanafiah Yussof dan Prof Dr Rosalina Abdul Salam daripada USIM.

Selaras dengan visi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, INNOMed memfokuskan kepada pembangunan penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan ke arah piawaian global.

IMDEC 2024 berlangsung hari ini hingga 12 Dis melibatkan penyertaan 34 pihak berkuasa peranti perubatan antarabangsa dan dijangka menarik kira-kira 10,000 pelawat perdagangan serta pembuat keputusan dari seluruh dunia. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan