KLANG, 11 Dis (Bernama) -- Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin adalah antara dua pengamal media dikurniakan darjah kebesaran bersempena ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah ke-79 hari ini.
Nur-ul Afida dikurniakan Darjah Kelas Kedua Dato’- Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) yang membawa gelaran 'Datin Paduka' pada istiadat yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini.
Selain Nur-ul Afida, Ketua Pengarang Sin Chew Daily Kuik Cheng Kang yang juga Ahli Lembaga Pengarah Bernama turut dikurniakan darjah kebesaran yang sama membawa gelaran Datuk, daripada 15 penerima Darjah Kelas Kedua D.S.I.S. pada istiadat itu.
Terdahulu Sultan Selangor berkenan berangkat bagi mengurniakan Darjah dan Bintang Kebesaran Selangor sempena ulang tahun Hari Keputeraan baginda kepada 94 penerima.
Berangkat sama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.
Pada Oktober 2023, Nur-ul Afida mencatat sejarah apabila menjadi wanita pertama memegang jawatan Ketua Pengarang agensi berita yang ditubuhkan pada 1967 itu.
Beliau kemudiannya dilantik ke jawatan KPE pada 27 Feb lepas, menggantikan Jamaluddin Muhammad yang bersara wajib pada Disember tahun lepas.
Nur-ul Afida, 58, mempunyai pengalaman luas dalam bidang kewartawanan dan telah memegang beberapa jawatan penting di Bernama, antaranya sebagai Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita dan Ketua Bahagian Perancangan Strategik.
Anak kepada wartawan veteran Allahyarham AR Kamaludin, Nur-ul Afida memulakan kerjaya sebagai wartawan di akhbar Harian Nasional dan menyertai Bernama pada Januari 1985 sebagai wartawan kadet.
Sepanjang 39 tahun perkhidmatan, beliau pernah bertugas di pelbagai bahagian serta unit termasuk Meja Berita Am, Meja Penyuntingan Bahasa Melayu, Unit Foto serta Meja Rencana dan Penulisan Strategik.
Beliau juga merupakan tenaga pengajar bagi Bernama School of Journalism sejak 2009.
Nur-ul Afida yang tidak asing dalam dunia kewartawanan negara telah dilantik sebagai Ahli Majlis Pentadbir Institut Akhbar Malaysia (MPI) pada 16 Mei lepas.
Atas kepimpinan dan usaha gigih beliau yang memberi inspirasi kepada generasi baharu pemimpin wanita dalam bidang kewartawanan, Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) memberikan Anugerah Luminary Media kepadanya pada majlis Anugerah Jubli Intan kelab itu pada 27 Sept lepas
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial