KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Kementerian Digital akan melancarkan Program Digital Rakyat esok, iaitu platform pembelajaran dalam talian bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran rakyat seiring perkembangan ekonomi digital masa kini.
Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata program itu membolehkan masyarakat mendapatkan pengetahuan umum dalam aspek teknologi baharu termasuk bidang kecerdasan buatan (AI).
"Ia bertujuan sebagai saluran pembelajaran interaktif untuk memperluaskan pengetahuan umum mengenai teknologi digital serta membina bakat baharu berdasrkan model khusus yang disediakan," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) mengenai pencapaian program AI Untuk Rakyat dan kesiapsiagaan ekosistem pembelajaran AI di institusi pendidikan, sektor swasta serta kerajaan.
Menurut Ugak, Program Digital Rakyat diwujudkan susulan kejayaan inisiatif AI Untuk Rakyat yang telah menarik penyertaan 1.3 juta rakyat antaranya pelajar, kumpulan profesional dan pegawai kerajaan.
AI Untuk Rakyat yang dilancarkan pada 16 Jan lepas, adalah selaras dengan inisiatif Pelan Ekonomi Digital Malaysia dan Strategi IR4.0 yang memberi tumpuan kepada pembinaan populasi celik teknologi, memupuk inovasi, serta mengurangkan jurang kemahiran digital.
Pada masa sama, Ugak berkata Kementerian Digital mengambil perhatian serius berhubung aspek pembelajaran AI yang dibangunkan secara holistik dan inklusif di setiap peringkat merangkumi institusi pendidikan, sektor swasta dan kerajaan.
Menerusi Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan yang baharu ditubuhkan, beliau berkata kementerian itu akan bekerjasama dengan setiap entiti bagi merangka model pembelajaran AI yang bersesuaian mengikut kumpulan sasar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial